CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12677|Reply: 8

Badak

[Copy link]
Post time 17-3-2009 11:38 PM | Show all posts |Read mode
Badak Borneo Diancam Kepupusan

KOTA KINABALU, 17 Mac (Bernama) -- Kemunculan "Tam" -badak Borneo jantan, yang diselamatkan di pantai timur Sabah pada Ogos tahun lepas - mungkin bertujuan menyuarakan kepada manusia tentang betapa perlunya spesies haiwan ini diselamatkan segera dari bahaya kepupusan, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

Malah, usaha untuk menyelamatkan haiwan daripada sub spesies BadakSumatera yang diancam kepupusan itu menjadi semakin mendesak sekarang memandangkan jumlahnya yang masih ada hanya sekitar 30 ekor di beberapa kawasan di bahagian timur dan tengah Sabah, kata Dr Junaidi Payne,anggota Lembaga Pengarah Borneo Rhino Alliance (BORA), yang dulunya dikenali sebagai SOS Rhino Borneo.

"Sabah bernasib baik kerana mempunyai badak, tapi ia juga memikul tanggungjawab yang besar. Kerjasama dengan sektor swasta adalah penting kerana kerajaan dan NGO tidak dapat melakukannya secara bersendirian,"kata beliau pada satu majlis jamuan tengah hari bagi mengumpul derma untuk menyelamatkan badak di sini.

Badak Bornea tidak ada di tempat lain, kecuali di Sabah, dengan sebahagian besar daripadanya, iaitu kira-kira 15 ekor, terdapat di Kawasan Hutan Simpan Hidupan Liar Lahad Datu, manakala selebihnya disekitar kawasan pemuliharaan Lembah Danum atau hidup secara terpencil di beberapa tempat lain.

Ogos lepas, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) mencatat kejayaan besar dalam usaha memulihara spesies haiwan terancam ini apabila anggotanya menyelamatkan seekor badak Borneo jantan yang merayau disebuah ladang sawit di pantai timur Sabah.

Haiwan ini memiliki deria menghidu yang kuat dan lebih suka menjauhkan diri daripada manusia. Sedikit sebanyak pengetahuan tentang badak yang mendiami hutan Sabah sekarang ini hanya diperoleh melalui gambar atau rakaman kamera video yang dipasang bagi tujuan pemantauan.

Payne, yang juga penasihat teknikal kanan WWF-Malaysia di Sabah,berkata antara sebab spesies haiwan ini menjadi semakin pupus ialah sifatnya yang membiak secara perlahan iaitu mengalami tempoh kehamil anantara 15 bulan atau 16 bulan bagi setiap tiga hingga lima tahun.

Katanya pada 1990-an, percubaan dibuat bagi membiak haiwan ini dengan menempatkan beberapa ekor daripadanya di Sepilok (Sandakan),tetapi tidak membuahkan sebarang hasil.

Kerajaan negeri telah memulakan langkah mengumpul dana bagi membiayai cadangan penubuhan santuari badak Borneo untuk membiak haiwan berkenaan di Tabin.

"Apabila siap kelak, Tam akan dilepaskan ke dalam santuari ini bersama badak lain yang ditangkap di beberapa tempat di Sabah bagi tujuan pembiakan dan mengurangkan ancaman pemburu haram," katanya.

Pada majlis itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata Sabah sedang berada dalam fasa pemuliharaan yang amat kritikal.

Katanya walaupun pembangunan berterusan di negeri ini, seperti pembinaan jalan raya, adalah baik bagi manusia, tetapi ia tidak demikian bagi haiwan yang diancam kepupusan.

Beliau berkata ini kerana lebih banyak pemburu mungkin menggunakan jalan yang baru dibina itu untuk memburu haiwan dan laporan tentang kegiatan pemburu haram kini semakin meningkat.

"Pelancongan merupakan pemacu utama pertumbuhan di Sabah keranaorang datang ke sini untuk melihat benda atau haiwan yang tidak ada ditempat lain di dunia.

"Ketika negara lain mengalami penurunan, Sabah masih berada dalam kedudukan kukuh dalam bidang pelancongan kerana kami sedar tentang pentingnya usaha pemuliharaan. Oleh itu, anda sebenarnya membantu pertumbuhan ekonomi Sabah sekiranya anda menderma kepada usaha pemuliharaan ini," kata beliau dengan merujuk kepada sektor swasta.

Pada majlis itu, ikrar sumbangan bernilai lebih RM520,000 diterima daripada pelbagai individu serta sektor swasta dan jumlah ini melebihi RM500,000 yang disasarkan.

Berucap pada majlis itu, Dr Isabelle Lackman-Ancrenaz, pengarah sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan dikenali sebagai HUTAN, berkata perbelanjaan bagi membiayai operasi BORA berjumlah RM500,000 setahun, termasuk bagi membayar gaji petugas, menyediakan bekalan makanan dan peralatan serta menaik taraf tempat kediaman kakitangan.

[ Last edited by  Syd at 19-3-2009 19:16 ]

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 19-3-2009 05:51 PM | Show all posts
kesian betul la kat badak ni. apa keistimewaan badak ni pd mata pemburu2 haram ni? kalau gajah ok la sy tau depa nak gading dia tp badak kat mesia ni ada apa ek yg istimewa? tgk la badak tu nampak besar dan kuat tp tetap di ancam kepupusan dek perangai manusia yg kejam.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2009 09:22 PM | Show all posts
LAHAD DATU: Penggunaan kamera dan video telah berjaya membantu usaha mengesan populasi Badak Sumatera di Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum di Sabah.

Usaha ini dijalankan melalui Projek Pemuliharaan Badak Sumatera WWF Malaysia dengan kerjasama Honda Malaysia.

Sejak dipasang pada Februari tahun lepas, kamera yang digunakan itu telah merakam tujuh gambar badak Sumatera dengan gambar pertama dirakam tiga bulan kemudian, manakala video pula berjaya merakam visual pertama seekor badak Sumatera pada April lepas.

Pengurus projek, Raymond Alfred, menyifatkan penggunaan kamera dan video banyak membantu pihaknya memantau dan memulihara populasi badak Sumatera di kawasan Lembah Danum.

“Kaedah ini amat berkesan untuk mengesan kehadiran badak Sumatera di sesebuah kawasan kerana untuk menemui mamalia ini amat sukar kerana binatang itu mampu menghidu bau manusia dalam linkungan 500 meter,” katanya yang ditemui semasa Lawatan Media ke Tapak Projek Badak Sumatera di Lembah Danum Lahad Datu, baru-baru ini.

Lokasi

Sehingga kini terdapat 10 kamera dan 12 perakam video dipasang di beberapa lokasi di sekitar Lembah Danum. Kamera dan video itu dipasang di kawasan yang dikenal pasti wujud kehadiran badak Sumatera iaitu kawasan laluan dan tempat binatang itu berkubang.

Pembelian kamera dan perakam video ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM5 juta oleh Honda Malaysia untuk kerja-kerja projek pemuliharaan Badak Sumatera di Malaysia iaitu untuk dua projek yang dilaksanakan di Lembah Danum Lahad Datu, Sabah dan Hutan Simpan Belum di Perak dengan setiap projek mendapat pembiayaan RM2.5 juta.

Pembiayaan projek itu membabitkan tempoh lima tahun bermula tahun lepas dalam usaha memulihara dan melindungi badak Sumatera, spesies yang diancam kepupusannya.

Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum yang berkeluasan 43,000 hektar adalah Hutan Simpan Kelas 1 di bawah Kawasan Pengurusan Hutan Yayasan Sabah.

Raymond berkata kamera dan video tersebut dilekatkan di pokok dan akan mengambil gambar dan visual bagi setiap imej yang bergerak di depannya.

Beliau berkata setiap dua minggu sekali ahli pasukan projek itu akan masuk ke hutan untuk memeriksa rakaman kamera dan video yang dipasang itu serta untuk mengesan kawasan baru yang dilalui oleh badak Sumatera.

Katanya untuk mengesan kawasan yang baru dilalui oleh badak Sumatera, bukti yang diambil berdasarkan kesan tapak kaki, dan air kencing yang terdapat di daun dan bekas tempat binatang itu berkubang dan selepas itu, barulah sesebuah kamera atau video dipasang di kawasan yang dikenal pasti dilalui oleh badak Sumatera.

Menurutnya ahli projek akan berada di dalam hutan dalam tempoh lima hingga tujuh hari untuk melakukan semua kerjakerja itu dan apabila balik dari hutan mereka perlu merekod setiap data yang diambil untuk tujuan pemantauan perkembangan projek.

Pemburu haram

Raymond berkata tujuan lain ahli projek masuk ke hutan setiap dua minggu sekali adalah untuk membuat tinjauan dan rondaan bagi mengesan kehadiran pemburu haram dalam hutan.

“Kehadiran pemburu haram ini adalah masalah utama yang perlu kami tangani kerana aktiviti mereka boleh mengganggu pembiakan badak Sumatera di sesebuah kawasan dan ini akan mengganggu pelaksanaan projek pemuliharaan binatang ini.

“Kegiatan ini menjadi masalah besar bagi badak Sumatera yang menyebabkan binatang itu hidup dalam kawasan kecil yang terasing menjadikan ia amat mudah diancam kepupusan, selain penyebab lain iaitu penurunan genetik dan penyakit,” katanya.

Bagi mengatasi masalah ini, Raymond berkata sejak projek pemuliharaan badak Sumatera dilaksanakan pada 2005, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah telah meningkatkan rondaan penguatkuasaan di kawasan Lembah Danum terutama di Ulu Segama Malua untuk menangani kegiatan pemburu haram.

“Bagi meningkatkan keberkesanan aspek penguatkuasaan itu, pada tahun ini Jabatan Perhutanan telah melantik beberapa kakitangan WWF sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar membolehkan kami menubuhkan pasukan rondaan sendiri untuk menguatkuasakan Enakmen Hidupan Liar 1998,” katanya.

Populasi Badak Sumatera di Sabah

Mengenai populasi badak di kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Raymond berkata berdasarkan tinjauan pada 2005, terdapat 13 ekor badak Sumatera tetapi dalam tahun ini, tiga tapak kaki badak Sumatera yang kecil dikesan dan ini bermakna terdapat 16 ekor badak Sumetara di kawasan ini.

Katanya di kawasan lain pula, hasil tinjauan Jabatan Perhutanan Sabah pada tahun ini di Hutan Simpan Tabin terdapat lima hingga tujuh ekor badak Sumatera terdapat di kawasan itu dan anggaran jumlah binatang itu terdapat di Sabah di antara 25 hingga 50 ekor.

Menurutnya hasil pelaksanaan projek yang dikendalikan pihaknya di Lembah Danum tidak menolak kemungkinan populasi badak Sumatera di kawasan itu telah bertambah.

Ini kerana, katanya, Lembah Danum adalah hutan tidak terganggu dan dalam kategori Hutan Kelas 1, membolehkan badak Sumatera bertemu satu sama lain dan melakukan pembiakan.

Sumbangan Honda Malaysia

Berhubung sumbangan yang diberikan oleh Honda Malaysia untuk projek itu, Raymond berkata kebanyakan sumbangan itu digunakan untuk kerja-kerja tinjauan, rondaan, penyelidikan populasi badak Sumatera dan memberi latihan kepada kakitangan projek itu.

Katanya sumbangan daripada Honda Malaysia ini amat penting terutama komitmen yang diberikan dalam tempoh lima tahun membolehkan projek pemuliharaan badak Sumatera di Lembah Danum dilaksanakan lebih teratur dan berkesan.

Menurutnya projek yang dilaksanakan sehingga kini berjalan mengikut jadual dan menghasilkan kesan yang positif berdasarkan bukti-bukti yang diperolehi melalui kesan tapak kaki badak Sumatera yang diperolehi dari gambar serta visual yang dirakam melalui penggunaan kamera dan video.

“Ini bermakna kawasan yang menjadi tumpuan tinjauan kami adalah kawasan yang selamat untuk badak Sumatera kerana pada awal pelaksanaan projek ini pada 2005, tapak kaki binatang itu hanya boleh dijumpai di tengah-tengah hutan tetapi sekarang bukti kehadirannya boleh dijumpai di kawasan hutan yang berdekatan,” katanya.

Tugas mencabar pasukan peninjau

Dalam pada itu, tugas ahli pasukan peninjau projek ini memerlukan kesabaran, fizikal dan mental yang kuat dalam mengesan bukti kehadiran badak Sumatera di sesebuah kawasan itu.

Laluan berbukit, hujan dan gigitan pacat sudah menjadi sebahagian cabaran itu.
Ketua Pasukan Peninjau projek itu, Richard Sanggin, 30, berkata setiap satu pasukan peninjau dianggotai tiga orang dan akan berada di dalam hutan dalam tempoh lima hingga tujuh hari.

Katanya selain melakukan kerja-kerja mencari bekas kehadiran badak Sumatera, tugas mereka adalah untuk memeriksa kamera dan video yang dipasang di sesuatu kawasan serta mengalihkan ia ke kawasan lain.

Menurutnya kamera dan video ini juga perlu diperiksa bagi menggantikan bateri dan memastikan ia dalam keadaan baik kerana ada binatang lain seperti monyet, tupai dan tikus akan merosakkan bahagian luar menggunakan gigitan.

Richard berkata biarpun belum ada ahli pasukan itu terserempak dengan badak Sumatera di kawasan Lembah Danum tetapi kesan penemuan kesan tapak kaki, kencing dan tempat berkubang binatang itu sudah memberi kepuasan kepada mereka.

“Imej dan visual binatang sumetara yang dirakam menggunakan perangkap kamera dan video ini menambahkan lagi minat kami dalam pemuliharaan mamalia yang hampir pupus ini.”

Sumber : BERNAMA
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2009 09:24 PM | Show all posts

Balas #2 CosmoCrimson\ catat

Perubatan tradisional ancam pelbagai haiwan
Berita Harian, 9 Okt. 2001

MUNGKIN ramai tidak menyedari selain proses pembangunan dan pertanian, kepupusan hidupan liar juga berlaku akibat pemburuan haram bagi mendapatkan haiwan sama ada sebagai makanan, bahan perubatan dan perhiasan. Namun, sejauh mana mujarabnya menggunakan anggota badan haiwan sebagai bahan makanan, perubatan atau barang hiasan memberikan ‘kuasa dan kekuatan’ baru kepada tubuh manusia?

Wartawan NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF meninjau persoalan ini.

GAJAH, badak, beruang dan penyu adalah antara spesies dilindungi yang semakin pupus kerana sering menjadi sasaran pemburu haram bagi mendapatkan anggota badan haiwan berkenaan. Jawapan yang sering diberikan mereka ialah permintaan tinggi terhadap haiwan berkenaan.

Walaupun nyawa bagai ‘telur di hujung tanduk’, demi mendapatkan pulangan lumayan mereka sanggup menghadapi segala rintangan.

Di rantau Asia, pemburuan haram bermula sejak beratus-ratus tahun lalu dan dipercayai kerja mengeksport penyu dan kura-kura dari Sumatera ke luar negara dilakukan hampir setiap minggu dan perdagangan haram dianggar mencecah nilai AS$6 bilion (RM22.8 juta) setahun.

Permintaan itu semata-mata memenuhi selera eksotik sebahagian masyarakat Asia yang percaya mengenai ‘khasiat’ anggota badan haiwan.

Pegawai Saintifik Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Stella Melkion, berkata pemburuan itu dilakukan untuk perubatan, perhiasan, dan makanan eksotik selain dijadikan haiwan peliharaan.

“Dipercayai pundi hempedu beruang, yang didakwa menjadi penawar pelbagai penyakit ada pasaran tinggi pasaran di Korea Selatan dan Jepun. Jumlah badak sumbu spesies Jawa dan Sumatera yang semakin berkurangan, terus menjadi ancaman pemburu haram, semata-mata ingin mendapatkan tanduknya, yang boleh dijadikan ubat.

“Namun, sehingga kini belum terbukti badan haiwan berkenaan mampu dijadikan sebagai bahan penyembuh penyakit. Sebaliknya secara psikologi, sekiranya kita mempercayai sesuatu benda sebagai pengubat penyakit, ia akan sembuh sendiri, kerana kita percaya.

“Tiada yang cukup istimewa kerana gading gajah yang terhasil daripada dentin, turut ada dalam gigi manusia. Kenapa tidak menggunakan gigi? Inilah yang membuktikan kecantikan dan kepercayaan melebihi kebenaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seiring pengecilan kawasan perhutanan, sikap rakus dan tamak manusia dalam mengumpul barang perhiasan berasaskan haiwan liar ke pasaran, membawa kesan amat buruk terhadap populasi hidupan liar.

Persoalannya, apakah yang dapat dilakukan untuk menyekat selera pengguna, memenuhi keperluan pengamal perubatan tradisional dan mengelak spesies hidupan liar daripada pupus bagi kepentingan generasi akan datang?

Justeru, bagi membantu mengurangkan ancaman terhadap haiwan Program Kesedaran Pemuliharaan Asia (Acap) mewujudkan kempen pendidikan awam antarabangsa bertujuan mengurangkan pembelian dan penggunaan bahan atau produk daripada spesies terancam dan menggalakkan minat dalam usaha pemuliharaan.

Kempennya mudah, ‘Apabila Pembelian Berhenti, Pembunuhan Juga Akan Turut Berhenti’.

Namun sejauh mana usaha ini berjaya bukan persoalannya. Kunci kejayaan atau kegagalan kempen itu ada dalam hati setiap individu.

Ini kerana menerusi kempen berkenaan, kita perlu memberhentikan pembelian perhiasan yang diperbuat daripada tubuh haiwan, serta cuba melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Justeru, kesedaran kepentingan melindungi dan tindakan melaporkan kepada pihak kerajaan perlu wujud. Antaranya mengambil sikap rajin mengambil tahu kegiatan jiran dan sekiranya ada yang tidak kena perlu dilaporkan.

Ini kerana kerajaan memang memainkan peranan dalam membentuk pelbagai undang-undang perlindungan terhadap hidupan liar.

Contohnya, di Malaysia, kegiatan pemburuan dikawal ketat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Berdasarkan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, haiwan di negara ini dibahagikan kepada lima kategori.

- Haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Ia tidak boleh diburu, dibela dan dimakan. Terdapat 292 jenis haiwan dalam kategori itu, termasuk buaya, beruang, harimau dan kucing hutan.

- Haiwan liar dilindungi.

Ada 507 jenis haiwan dalam kategori itu yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu haiwan buruan dan haiwan yang tidak boleh diburu. Contoh bagi haiwan yang boleh diburu ialah pelanduk, napuh dan musang dan yang tidak boleh diburu ialah gajah dan semua jenis monyet.

- Burung liar dilindungi sepenuhnya.

Ada 641 jenis burung dikategorikan dalam jenis itu, termasuk burung helang, hantu dan enggang.

- Burung liar dilindungi.

- Serangga dilindungi.

Ia khusus bagi 40 jenis rama-rama. Mengenai proses memburu, seseorang pemburu hanya dibenarkan memburu pada waktu siang, iaitu dari jam 6.30 pagi hingga 7.30 malam. Haiwan jenis keluang terkecuali daripada sekatan itu. Keluang boleh diburu pada waktu malam, iaitu dari jam 7 malam hingga 12 malam dan 5 pagi hingga 7 pagi.

Sementara itu, kawasan dilarang memburu antaranya ialah Taman Negara dan Rizab Hutan Liar di seluruh negara; Empangan Kenyir; Hutan Simpan Hulu Terengganu, Petualang dan Tembat di Terengganu; Hutan Simpan Berkelah dan Lakom di Pahang; Hutan Simpan Bukit Tapah di Perak; Hutan Simpan Hulu Muda di Kedah; Empangan Muda Pedu, Pulau Langkawi; Pulau Perak dan Pulau Paya di Kedah dan Pulau Segantang di Perak.

Melkion berkata, secara umum, masyarakat negara ini sedar kepupusan haiwan akibat kegiatan pemburuan namun sukar mengatasi masalah kepercayaan terhadap semangat anggota tubuh haiwan sama ada dalam pengalaman perubatan, makanan atau perhiasan.

“Walaupun negara ini memiliki doktor yang mencukupi tetapi segelintir rakyat masih mengamalkan pemakanan anggota badan haiwan liar iaitu ular, penyu dan beruang selain masih menyimpan gigi harimau dan permaidani bulu binatang.

“Dari sudut kebudayaan pula, setiap kali masyarakat China memakan makanan luar biasa, khususnya binatang yang jarang menjadi sajian atau sukar diperoleh, ia bukan semata-mata kerana dagingnya.

“Ia lebih condong kepada kepercayaan tradisi bahawa binatang itu akan menjadi sumber kesihatan serta mendatangkan pelbagai faedah lain,” katanya.

Melkion berkata, sukar mengubah pandangan dan kepercayaan golongan tua, khususnya masyarakat Cina, yang masih percaya kemujaraban anggota tubuh haiwan liar, walaupun sebahagian amat payah dan mahal untuk diperoleh.

Malah perbuatan pemburuan bagi mendapatkan anggota tubuh haiwan itu adalah salah di sisi undang-udang.

“MNS bukan menentang kepercayaan tradisi, tetapi orang ramai perlu sedar jumlah hidupan liar yang masih wujud dan kesan terhadap pemburuan secara haram. Malah kami juga berharap golongan muda dapat membantu memperbetulkan persepsi itu,” katanya.

Usaha memerangi penghapusan haiwan liar menerusi kegiatan pemburuan ini agak sukar dilaksana, antaranya kerana kekurangan tenaga. Ini kerana mengharapkan agensi semata-mata seperti pihak berkuasa hidupan liar dan pertanian tentunya sukar.

“Mustahil meletakkan pegawai mereka sepenuh masa di pelabuhan atau lapangan terbang bagi mengawasi penyeludupan binatang itu, jauh sekali daripada menjalankan rondaan di sempadan darat atau laut, yang mana penyeludupan berlaku dengan berleluasa. Justeru kerjasama orang ramai amat diperlukan,” katanya.

Apabila membicarakan haiwan liar yang semakin pupus, ramai menyatakan demi pembangunan, haiwan memang turut terancam. Namun, dalam soal ini, ia bukan berkaitan pembangunan, sebaliknya ia seperti kembali ke zaman lampau iaitu berkaitan kepercayaan tradisional.

Justeru, sudah sampai masa manusia kembali kepada perubatan moden yang sudah pasti kemujarabannya dan biarkanlah haiwan liar ini hidup bebas mengekalkan populasinya.

Semangat dan kekuatan individu tidak tercapai dengan penggunaan tubuh haiwan sebaliknya mengamalkan diet yang betul dan sentiasa mendapatkan pemeriksaan doktor bertauliah dan bukannya bersandarkan kepercayaan tradisional semata-mata.

ACAP mengenal pasti antara haiwan yang diancam kepupusan ialah:

- Beruang – Diancam kehilangan habitat dan fragmentasi hutan, diburu untuk kelenjar hempedunya yang digunakan dalam perubatan tradisional dan daging serta tapak kakinya sebagai makanan eksotik

- Penyu – Diancam pengambilan berlebihan telur untuk makanan, penangkapan secara tidak sengaja dalam pukat nelayan, pencemaran laut dan kehilangan pantai tempat penyu bertelur

- Badak – Diancam kehilangan habitat dan fragmentasi hutan, diburu untuk tanduk yang digunakan dalam perubatan tradisional dan untuk membuat pemegang pisau tradisional

- Gajah – Diancam kehilangan habitat dan fragmentasi hutan, diburu untuk gadingnya yang digunakan untuk membuat produk hiasan dan cap nama.

- Harimau – Diancam kehilangan habitat dan fragmentasi hutan, pemburuan berlebihan mangsanya, diburu untuk tulang, darah dan bahagian badan lain untuk perubatan tradisional dan gigi atau kulit sebagai barang perhiasan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2009 09:27 PM | Show all posts
Badak sumbu Sumatera makin kepupusan zuriat
Oleh Hassan Omar
Berita Harian, 26 Jul 2007

Jabatan Hidupan Liar Sabah dapati ketumbuhan dalam ovari antara punca masalah pembiakan

KOTA KINABALU: Mungkinkah spesies badak sumbu Sumatera di Sabah kini meniti hari-hari lima tahun terakhir kewujudannya sebelum pupus?

Itulah persoalan yang mencengkam Jabatan Hidupan Liar negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memelihara pelestarian badak sumbu di Sabah sejak beberapa tahun lalu.

Ketika ini, anggaran kasar mendapati cuma ada antara 35 hingga 50 badak sumbu Sumatera di beberapa hutan simpan di seluruh Sabah, terutama di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Tabin dan Lembah Danum di Lahad Datu.

Jumlah itu jauh berkurangan berbanding ketika haiwan itu mula dikesan di negeri berkenaan pada lewat 1970-an. Ketika itu, lebih 50 badak sumbu Sumatera dikesan menghuni hutan di Tabin dan Lahad Datu serta Kinabatangan.

Mengapa badak sumbu Sumatera kian pupus sedangkan 50 peratus daripada keseluruhan keluasan Sabah diwartakan sebagai hutan simpan dengan kawasan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya pula 14 peratus?

Timbalan Pengarah jabatan itu, Laurentius N Ambu, berkata kajian pihaknya dan SOS Rhino (Borneo) Bhd (SOS Rhino) bersama WWF Malaysia mendapati sebahagian besar haiwan berkenaan tidak mampu menghasilkan zuriat.

Beberapa faktor disandarkan sebagai punca fenomena itu. Satu daripadanya ialah jarak beberapa hutan simpan yang memisahkan mamalia berkenaan terutama di Lahad Datu sejauh beratus-ratus kilometer menyukarkan spesies itu membiak dan mengawan.

Laurentius berkata, usaha pihaknya untuk membolehkan badak itu mengawan, berjaya tetapi yang mengejutkan ialah sperma dikeluarkan badak sumbu jantan atau betina tidak mampu menghasilkan anak.

"Ia bukan disebabkan faktor makanan. Kita kena mengambil kira faktor haiwan itu tinggal bersendirian bertahun-tahun tanpa mengawan. Ketidakaktifan mengawan menyebabkan mereka gagal mengeluarkan sperma yang boleh menghasilkan anak," katanya di sini, baru-baru ini.

Kenyataan itu diperkukuhkan oleh penjelasan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Patrick Andau, pada Bengkel Pengekalan Badak Sumbu Sumatera keempat di sini.
Program itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun. Hadir sama Pengarah SOS Rhino, Dr Nan Schaffer.

Kajian mendapati ketumbuhan dalam ovari dipercayai punca haiwan itu mengalami masalah pembiakan dan mungkin pupus sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Andau berkata, dua badak sumbu yang masing-masing ditangkap di Hutan Simpan Sepilok dan mati ditembak pemburu haram di Kalabakan dikesan menghidap ketumbuhan itu, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, ketumbuhan berkenaan bukan penyakit yang menyebabkan pengurangan jumlah pembiakan haiwan badak sumbu di Sabah.

"Kita mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menjalankan kajian lanjut mengenai punca sebenar pengurangan spesies badak sumbu Sumatera.

"Sebagai langkah awal, Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Papar akan dijadikan pusat pembiakan badak sumbu Sumatera," katanya.

Setakat ini, taman berkenaan hanya berfungsi sebagai zoo menempatkan kira-kira 40 spesies haiwan liar yang menjadi daya tarikan baru pelancongan di Sabah.

Sejak dibuka lima bulan lalu, taman seluas 112 hektar dan kira-kira 25 kilometer dari Kota Kinabalu itu sudah mengutip jualan tiket RM399,175 dengan 95 peratus daripada pengunjung adalah pelancong tempatan.

Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah. Untuk mengesan seekor badak sumbu memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu manakala operasi menangkapnya hidup-hidup memakan masa lebih panjang.

Masidi berjanji kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan tambahan bagi membantu tugas melestari badak sumbu Sumatera dan ia seharusnya memberi kekuatan kepada jabatan dan NGO berkenaan meneruskan usaha itu.

Hakikatnya, pemburuan haram mesti dihentikan serta-merta. Komitmen syarikat pembalakan dan perladangan membantu usaha itu juga penting kerana peluasan penggunaan tanah atas alasan pembangunan harus tidak mengorbankan habitat badak sumbu Sumatera.

FAKTA NOMBOR
Badak Sumatera di Sabah

· 5 tahun - Jangkaan pupus

· 35 - 50 - Bilangan di beberapa hutan
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-6-2009 12:53 PM | Show all posts
Rakaman foto badak Sumatera


GAMBAR pertama badak Sumatera yang dirakam di Lembah Danum, Sabah pada Mei tahun lalu.

PENGGUNAAN kamera dan video telah berjaya membantu usaha mengesan populasi badak Sumatera di Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum di Sabah.

Usaha ini dijalankan melalui Projek Pemuliharaan Badak Sumatera WWF Malaysia dengan kerjasama Honda Malaysia.

Sejak dipasang pada Februari tahun lalu, kamera yang digunakan itu telah merakam tujuh gambar badak Sumatera. Gambar pertama dirakam tiga bulan selepas kamera ini dipasang manakala video pula berjaya merakam visual pertama seekor badak Sumatera pada bulan April lalu.

Pengurus projek, Raymond Alfred menyifatkan, penggunaan kamera dan video banyak membantu pihaknya memantau dan memulihara populasi badak Sumatera di kawasan Lembah Danum.

“Kaedah ini amat berkesan untuk mengesan kehadiran badak Sumatera di sesebuah kawasan kerana untuk menemui mamalia ini amat sukar, selain haiwan ini mampu menghidu bau manusia dalam lingkungan 500 meter,” katanya yang ditemui semasa Lawatan Media ke Tapak Projek Badak Sumatera di Lembah Danum Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Sehingga kini, terdapat 10 kamera dan 12 perakam video dipasang di beberapa buah lokasi di sekitar Lembah Danum. Kamera dan video itu dipasang di kawasan yang dikenal pasti wujud kehadiran badak Sumatera iaitu kawasan laluan dan tempat binatang itu berkubang.

Pembelian kamera dan perakam video ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM5 juta oleh Honda Malaysia untuk kerja-kerja projek pemuliharaan badak Sumatera di Malaysia iaitu untuk dua projek yang dilaksanakan di Lembah Danum di Lahad Datu, Sabah dan Hutan Simpan Belum di Perak dengan setiap projek mendapat pembiayaan RM2.5 juta.

Pembiayaan projek itu melibatkan tempoh lima tahun bermula tahun lalu dalam usaha memulihara dan melindungi badak Sumatera, spesies yang diancam kepupusannya.

Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum yang berkeluasan 43,000 hektar adalah Hutan Simpan Kelas 1 di bawah Kawasan Pengurusan Hutan Yayasan Sabah.


KAKITANGAN WWF Malaysia, Albert Stawin menunjukkan kamera yang dipasang pada sebatang pokok di hutan Lembah Danum.

Raymond berkata, kamera dan video tersebut dilekatkan di pokok dan akan mengambil gambar serta visual bagi setiap imej yang bergerak di depannya.

Beliau berkata, setiap dua minggu sekali, ahli pasukan projek itu akan masuk ke hutan untuk memeriksa rakaman kamera dan video yang dipasang itu sekali gus mengesan kawasan baru yang dilalui oleh badak Sumatera.

Katanya, untuk mengesan kawasan yang baru dilalui oleh badak Sumatera, bukti yang diambil adalah berdasarkan kesan tapak kaki dan air kencing yang terdapat di daun dan bekas tempat haiwan itu berkubang. Selepas itu, barulah sesebuah kamera atau video dipasang di kawasan yang dikenal pasti dilalui oleh badak Sumatera.

Menurutnya, ahli projek akan berada di dalam hutan dalam tempoh lima hingga tujuh hari untuk melakukan semua kerja-kerja itu dan apabila balik dari hutan, mereka perlu merekod setiap data yang diambil untuk tujuan pemantauan perkembangan projek.

Raymond berkata, tujuan lain ahli projek masuk ke hutan setiap dua minggu sekali adalah untuk membuat tinjauan dan rondaan bagi mengesan kehadiran pemburu haram dalam hutan.

“Pemburu haram ini adalah masalah utama yang perlu kami tangani kerana aktiviti mereka boleh mengganggu pembiakan badak Sumatera di sesebuah kawasan dan ini akan mengganggu pelaksanaan projek pemuliharaan haiwan ini.

“Kegiatan ini menjadi masalah besar bagi badak Sumatera yang menyebabkan haiwan itu hidup dalam kawasan kecil yang terasing menjadikan ia amat mudah diancam kepupusan, selain penyebab lain iaitu penurunan genetik dan penyakit,” katanya.

Bagi mengatasi masalah ini, Raymond berkata, sejak projek pemuliharaan badak Sumatera dilaksanakan pada tahun 2005, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah telah meningkatkan rondaan penguatkuasaan di kawasan Lembah Danum terutama di Ulu Segama Malua untuk menangani kegiatan pemburu haram.

“Bagi meningkatkan keberkesanan aspek penguatkuasaan itu, Jabatan Perhutanan telah melantik beberapa kakitangan WWF sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar yang membolehkan kami menubuhkan pasukan rondaan sendiri untuk menguatkuasakan Enakmen Hidupan Liar 1998,” katanya.

Populasi badak Sumatera di Sabah

Mengenai populasi badak di kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Raymond berkata, berdasarkan tinjauan pada 2005, terdapat 13 ekor badak Sumatera tetapi dalam tahun ini, tiga tapak kaki badak Sumatera yang kecil dikesan dan ini bermakna terdapat 16 ekor badak Sumetara di kawasan ini.

Katanya, di kawasan lain pula, hasil tinjauan Jabatan Perhutanan Sabah pada tahun ini di Hutan Simpan Tabin terdapat lima hingga tujuh ekor badak Sumatera terdapat di kawasan itu. Anggaran jumlah haiwan itu yang terdapat di Sabah ialah antara 25 hingga 50 ekor.

Menurutnya, hasil pelaksanaan projek yang dikendalikan pihaknya di Lembah Danum tidak menolak kemungkinan populasi badak Sumatera di kawasan itu telah bertambah.

Ini kerana, katanya, Lembah Danum adalah hutan tidak terganggu dan dalam kategori Hutan Kelas 1, membolehkan badak Sumatera bertemu satu sama lain dan melakukan pembiakan.

Komitmen Honda selama lima tahun

Berhubung sumbangan yang diberikan oleh Honda Malaysia untuk projek itu, Raymond berkata, kebanyakan sumbangan itu digunakan untuk kerja-kerja tinjauan, rondaan, penyelidikan populasi badak Sumatera dan memberi latihan kepada kakitangan projek itu.

Katanya, sumbangan daripada Honda Malaysia ini amat penting terutama komitmen yang diberikan dalam tempoh lima tahun membolehkan projek pemuliharaan badak Sumatera di Lembah Danum dilaksanakan lebih teratur dan berkesan.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan sehingga kini berjalan mengikut jadual dan menghasilkan kesan yang positif berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh melalui kesan tapak kaki badak Sumatera yang diperoleh daripada gambar dan visual yang dirakam melalui penggunaan kamera serta video.

“Ini bermakna kawasan yang menjadi tumpuan tinjauan kami adalah kawasan yang selamat untuk badak Sumatera kerana pada awal pelaksanaan projek ini pada tahun 2005, tapak kaki haiwan ini hanya boleh dijumpai di tengah-tengah hutan tetapi sekarang, bukti kehadirannya boleh dijumpai di kawasan hutan yang berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, tugas ahli pasukan peninjau projek ini memerlukan kesabaran, fizikal dan mental yang kuat dalam mengesan bukti kehadiran badak Sumatera di sesebuah kawasan itu.

Laluan berbukit, hujan dan gigitan pacat sudah menjadi sebahagian cabaran itu.

Ketua Pasukan Peninjau projek itu, Richard Sanggin, 30, berkata, setiap pasukan peninjau dianggotai tiga orang dan akan berada di dalam hutan dalam tempoh lima hingga tujuh hari.

Katanya, selain melakukan kerja-kerja mencari bekas kehadiran badak Sumatera, tugas mereka adalah untuk memeriksa kamera dan video yang dipasang di sesuatu kawasan serta mengalihkan ia ke kawasan lain.

Menurutnya kamera dan video ini juga perlu diperiksa bagi menggantikan bateri dan memastikan ia dalam keadaan baik kerana ada binatang lain seperti monyet, tupai dan tikus akan merosakkan bahagian luar menggunakan gigitan.

Richard berkata, biarpun belum ada ahli pasukan itu terserempak dengan badak Sumatera di kawasan Lembah Danum tetapi kesan penemuan kesan tapak kaki, kencing dan tempat berkubang binatang itu sudah memberi kepuasan kepada mereka.

“Imej dan visual badak Sumatera yang dirakam menggunakan perangkap kamera dan video ini menambahkan lagi minat kami dalam pemuliharaan mamalia yang hampir pupus ini.” – Bernama
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 17-11-2009 10:50 AM | Show all posts
Kempen Perlindungan Badak Sumbu Malaysia Daripada Pupus Oleh Jerman

Oleh Manik Mehta

BERLIN, 17 Nov (Bernama) -- Badak sumbu dari Sabah kian menjadi perhatian sebagai maskot untuk hutan hujan tropika Malaysia di Jerman, berikutan usaha giat yang dijalankan bagi menyelamatkan spesies terancam itu yang dikatakan semakin pupus.

Pelbagai persatuan dan masyarakat pencinta haiwan di Jerman mengutarakan secara besar-besaran mengenai hakikat bahawa hanya tinggal 50 ekor sahaja badak sumbu Sabah - definisi zoologi ialah 'dicerorhinus sumatrensis harrisoni' - yang adalah subspesies badak sumbu Sumatra.

Para saintis di Institut Zoologi dan Penyelidikan Hidupan Liar Leibniz telah memulakan satu program secara giat untuk melindungi hingga kepada pembiakan haiwan berkenaan bersama-sama dengan pihak Zoo Leipzig, kerajaan Malaysia, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pertubuhan Bersekutu Badak Sumbu Borneo.

"Telah tiba masanya kita menyelamatkan spesies ini. Badak sumbu Sabah adalah warisan budaya rantau kita. Kini kita memerlukan kepakaran profesional," Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dipetik sebagai berkata semasa beliau menerima kunjungan sekumpulan penyelidik dari Institut Zoologi dan Penyelidikan Hidupan Liar Leibniz dan Zoo Leipzig pada minggu lepas.

Badak sumbu Sabah dianggap sebagai spesies indikator bagi ekosistem yang berkeadaan baik - hutan tropika tanah rendah. Seandainya spesies ini pupus, spesies lain, yang bilangannya juga rendah dan tinggal di bawah perlindungan ekologi badak sumbu Sabah juga akan menerima nasib yang sama.

BANTUAN DARIPADA INSTITUT LEIBNIZ

"Para saintis di Institut Zoologi dan Penyelidikan Hidupan Liar Leibniz akan membantu kami dengan kepakaran mereka dalam bidang perubatan pembiakan untuk mengenalpasti status kesihatan dan kesuburan haiwan berkenaan," kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Dr Laurentius Ambu, selepas bermesyuarat dengan semua rakan projek di Kota Kinabalu.

Menurut Ambu, para pakar berkenaan akan mengusulkan cadangan kepada pihak Malaysia mengenai bagaimana untuk mewujudkan satu program pembiakan yang berjaya untuk spesies berkenaan.

Badak sumbu Sabah, yang hanya berukuran 1.30 meter tinggi ialah badak sumbu terkecil di dunia. Habitatnya di hutan tropika tanah rendah di Sabah, terancam kerana pertumbuhan pesat ladang kelapa sawit. Akibatnya, haiwan unik itu terpisah daripada alam habitatnya dan tidak boleh membiak dengan baik.

Seorang penyelidik Jerman memberitahu Bernama bahawa kerajaan Malaysia telahpun menubuhkan satu stesen pembiakan dengan kerjasama Pertubuhan Bersekutu Badak Sumbu Borneo bagi badak sumbu Sabah. Dalam santuari ini, haiwan berkenaan mempunyai peluang untuk membiak.

"Pertamanya, kita hendaklah memeriksa sama ada haiwan berkenaan berupaya untuk membiak," Dr Petra Kretzschmar dari Institut Leibniz dilaporkan berkata.

KESUBURAN HAIWAN PENTING

Ini kerana terdapat petunjuk, menurut penyelidik Jerman, bahawa kesuburan haiwan berkenaan mungkin berkurangan kesan daripada penggunaan racun serangga untuk penanaman pokok kelapa sawit.

Bagi melindungi spesies berkenaan, para penyelidik Jerman berkata adalah penting untuk bertindak segera. Oleh itu, para penyelidik berkenaan ingin mencuba persenyawaan, menggunakan cara terkini bagi membantu pembiakan mamalia.

Sepasukan pakar doktor dari Institut Leibniz yang diketuai oleh Dr. Thomas Hildebrandt, yang telahpun mencapai kejayaan dalam membiak badak sumbu, akan terlibat dalam program pembiakan itu.

Menurut Zoo Leipzig, pihaknya akan melihat kebergantungan hidup optimum haiwan berkenaan dan melatih pekerja tempatan di stesen pembiakan itu.

Projek berkenaan juga akan membantu melindungi hutan hujan berkenaan dengan penglibatan penduduk tempatan.

Apa pun, satu program maklumat dan pendidikan peringkat tempatan dan antarabangsa dapat membantu orang ramai untuk lebih memahami akan kepentingan perlindungan bagi badak sumbu dan hutan tropikanya.

Pada 2011, Zoo Leipzig akan membuka 'Gondwana Land' yang akan menjadi replika hutan tropika manakala spesies haiwan yang tinggal di dalamnya sebagai duta hutan tropika yang berada dalam ancaman.

Projek Pemuliharaan Badak Sumbu Sabah akan dizahirkan di dewan tropika Gondwana Land untuk tontonan berjuta orang ramai dan seterusnya memberi sumbangan penting kepada perlindungan spesies badak sumbu Sabah.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

Post time 17-11-2009 12:31 PM | Show all posts
kat sabah ade badak pony n gajah pony...memang unik..kalau tak menten memang pupus la..
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 4-12-2009 02:26 PM | Show all posts
Expedition to look for endangered rhinos in Sarawak
BY SHARON LING

KUCHING: A 50-man expedition will set off for the Pulong Tau National Park in northern Sarawak on Monday to survey whether the rare Sumatran rhinoceros still roams in the state.

State Forest Department director Datuk Len Talif Salleh said the Sumatran rhinoceros, a totally protected species under Sarawak's Wildlife Protection Ordinance, was last reported to have been seen in the Upper Limbang area, such as Sungai Adang, Long Seridan and Batu Lawi in the 1950s.

However, he said a grainy image captured by a camera trap near Batu Lawi recently was believed to be that of the rhinoceros although the picture was not clear enough to provide concrete evidence of the animal's presence.

"It will be like searching for a needle in a haystack. Ten cameras have been set up in the area to try to capture images of the rhinoceros, so we will be going to verify its presence," he said when launching the expedition at the Samajaya Park in Stutong here on Friday.

The 10-day expedition, organised by the Forest Department, will comprise members from the department, WWF Malaysia and timber company Samling.

Len Talif said the Sumatran rhinoceros was currently known to live in Sabah although a few individuals were believed to still survive in Sarawak and Kalimantan, Indonesia.

"However, its actual status is yet to be known and the animals may keep crossing the border between the states.

"It is hoped that this wildlife expedition will be able to find out more about the actual population, home range and habitat use of the Sumatran rhinoceros in Sarawak. It will also enable us to gather more information on other mammal species within the area," he said.

Expedition organising chairman Sapuan Ahmad said the team aimed to assess the status of the Sumatran rhinoceros at the Batu Lawi area within the Pulong Tau National Park and to study the distribution of salt licks and other potential food sources for the rhinoceros.

"We cannot guarantee that the team will bring good news (of the rhino's presence) but the expedition is still relevant because we will look for other mammal species as well, such as the gibbon, pig-tailed macaque and Hose langur," he said.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-12-2024 09:57 AM GMT+8 , Processed in 0.416037 second(s), 22 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list