Kabul: Konflik peperangan berlarutan sejak 20 tahun lalu menyebabkan ramai kanak-kanak di negara ini menjadi yatim piatu apabila ibu bapa mereka maut dibunuh dalam letupan bom.
Ini termasuk seorang ulama terkenal yang juga pemimpin pertubuhan Jamiat-i-Islah, Dr Mohammad Atif yang maut dalam letupan bom jangka pada 2 Februari lalu.
Kematiannya itu meninggalkan seorang anak lelaki bernama Asim, 11, yang kini ditempatkan di pusat perlindungan di Ehsas Welfare and Social Services Organization di sini.
Ternyata kehilangan bapanya itu masih sukar dilupakan sehingga kini apabila dia masih dalam keadaan trauma.
Sukarelawan pertubuhan itu, Abdul Rahim Ghafari, 30, berkata, Dr Mohammad Atif adalah pemimpin berpengaruh di Afghanistan dan kerap menjelajah seluruh negara untuk memberi ceramah.
"Pembunuhannya adalah dirancang apabila kereta dinaiki meletup mendadak ketika sedang membawanya.
"Ramai lagi kanak-kanak menerima nasib sama seperti Atif apabila keluarga mereka dibom oleh tentera asing atau dibunuh menggunakan bom jangka dio pasang pada kenderaan.
"Semua kanak-kanak ini masih kecil. Kejadian yang berlaku memberi kesan mendalam kepada emosi dan tingkah laku mereka," katanya ketika menerima kunjungan rombongan pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM), Yayasan Amal Malaysia dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma).
Difahamkan seramai 15 kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa mereka ditempatkan di pusat kebajikan itu.
Salah seorang penghuni, Muhammad Amir, 9, yang dilahirkan di daerah Nangarhar kehilangan kasih sayang kedua-dua ibu bapanya yang meninggal dunia akibat diracun.
"Ibu bapa saya meninggal semasa saya masih kecil sebelum saya ditempatkan di rumah kebajikan ini," katanya.