View: 1069|Reply: 2
|
Omicron: Jangan cepat panik, teruskan SOP semasa
[Copy link]
|
|
Omicron: Jangan cepat panik, teruskan SOP semasa
Foto hiasan. - AFP
KUALA LUMPUR: Ketika seluruh dunia termasuk Malaysia sedang bertatih untuk kembali mengatur langkah selepas tersungkur akibat varian Delta yang mendominasi pandemik COVID-19, timbul pula perkhabaran mengenai strain baharu yang mungkin lebih berbahaya.
Berita tidak enak itu mencetuskan kebimbangan akan kemungkinan perlu kembali hidup di bawah sekatan pergerakan, selain berlaku lonjakan kes yang menyebabkan kesesakan di hospital dan lebih banyak kematian, sedangkan rakyat baru saja menikmati sedikit kebebasan.
Ditambah pula Sarawak bakal menghadapi pilihan raya negeri yang sudah tertangguh selama berbulan-bulan.
Dikesan oleh saintis di Afrika Selatan pada 24 November lalu, kemunculan varian Omicron membawa bersama pelbagai persoalan yang sehingga kini belum terjawab.
Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah, Nazihah Muhamad Noor memberitahu Bernama ada tiga perkara yang perlu diambil kira oleh pihak berkuasa dalam mendepani Omicron.
"Kita perlu tunggu dan lihat jika negara-negara yang merekodkan kes Omicron turut mencatatkan peningkatan kes domestik, pertambahan kemasukan ke hospital dan kematian. Kita juga perlu tunggu dan lihat kesan strain baharu ini terhadap keberkesanan vaksin COVID-19 sedia ada," katanya.
Bagaimanapun, pakar berpandangan hakikat Omicron diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian membimbangkan (VOC) dalam tempoh yang begitu singkat sudah cukup membimbangkan.
Ketika laporan analisis ini ditulis, varian itu dikesan di sekurang-kurangnya 38 negara termasuk Malaysia.
Malaysia melaporkan kes Omicron pertamanya pada 2 Disember lalu, iaitu seorang pelajar berusia 19 tahun yang kembali ke negara ini selepas pulang ke kampung halamannya di Afrika Selatan, namun hingga kini tidak ada bukti menunjukkan berlaku jangkitan dalam komuniti.
Berdasarkan laporan berita, ada petunjuk bahawa Omicron sangat mudah berjangkit.
Di Afrika Selatan, jangkitan melonjak empat kali ganda pada minggu lalu dari 4,373 kes pada 30 November kepada 16,055 pada 3 Disember.
Hanya sekitar 24 peratus daripada populasi di negara berkenaan sudah lengkap dos vaksinasi setakat ini, kebanyakannya adalah individu berusia 50 tahun ke atas.
Pakar kesihatan bimbang kerana Omicron mempunyai lebih 50 mutasi dengan 30 daripadanya membabitkan spike protein atau protein pepaku.
Sesetengah daripada mutasi itu pula meningkatkan kadar transmisi (kebolehpindahan).
Ahli virologi dan pakar biologi molekul University of Nottingham-Malaysia, Prof Dr Sandy Loh Hwei San berkata, proses mutasi berkemungkinan menyebabkan varian itu lebih mudah menjangkiti.
"Apa yang kita dapat lihat di Afrika Selatan ialah kes meningkat secara mendadak, justeru ada kemungkinan varian ini sangat mudah menjangkiti berbanding Delta," katanya.
Menurutnya, sebahagian daripada pakar menjangka kadar transmisi Omicron kira-kira lima kali ganda lebih tinggi berbanding strain asal.
Negara lain juga menunjukkan tanda-tanda serupa.
Di Norway, sekurang-kurangnya 13 orang dijangkiti Omicron selepas menghadiri sambutan Krismas pada 26 November lalu dengan angka itu dijangka disemak semula kepada 60 orang.
Di United Kingdom, jumlah kes meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh 24 jam, iaitu dari 160 kes pada 4 Disember kepada 246 pada hari berikutnya.
Kebarangkalian strain itu mampu melepasi imuniti yang terhasil daripada vaksin dan seterusnya menjangkiti orang lain, terus meningkat.
Contohnya, semua yang dikesan dijangkiti Omicron dalam kluster restoran di Norway itu lengkap divaksinasi serta diuji negatif COVID-19 sebelum menghadiri jamuan berkenaan.
Negara-negara lain juga melaporkan jangkitan dalam kalangan individu yang lengkap dos vaksinasi. Kes pertama Omicron di Malaysia, iaitu pelajar dari Afrika Selatan itu juga sudah lengkap vaksinasinya.
Sekalipun jumlah mutasi menunjukkan kadar transmisi yang lebih pantas, tidak ada bukti mengenai ia menyebabkan jangkitan yang lebih teruk.
Setakat ini, tiada laporan kematian akibat dijangkiti Omicron dan laporan awal menunjukkan jangkitan adalah kurang teruk berbanding Delta.
Laporan awal mengenai pesakit dijangkiti Omicron yang dikeluarkan oleh Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan (SAMRC) pada 4 Disember lalu, menyatakan data klinikal menunjukkan VOC baharu itu menyebabkan jangkitan yang kurang teruk berbanding varian-varian terdahulu.
Hanya sebilangan kecil pesakit memerlukan bantuan oksigen, mengalami pneumonia atau rawatan rapi. Tempoh dirawat di hospital juga lebih pendek berbanding pesakit yang dijangkiti varian-varian terdahulu.
Bagaimanapun, Dr Fareed Abdullah yang menulis laporan itu pantas mengingatkan bahawa lebih banyak penyelidikan serta masa dan jumlah sampel yang diperlukan untuk mengetahui kedudukan sebenar Omicron.
Katanya, kebanyakan pesakit pula terdiri golongan yang berusia 40 tahun ke bawah.
Sementara itu, Dr Loh berkata, sekalipun virus itu mempunyai banyak mutasi, tidak bermakna semua mutasi berkenaan akan bergabung dan membentuk satu virus maut.
Ringkasnya, mutasi terbabit mungkin saling 'membatalkan' kelebihan masing-masing.
"Virus (RNA) bermutasi dengan kerap, namun belum tentu ia boleh meningkatkan virulens atau menyebabkan gejala teruk," katanya.
Bagaimanapun, pakar berpendapat varian itu juga tidak boleh dilabelkan sebagai 'lemah' kerana kematian boleh berlaku selepas beberapa minggu dijangkiti COVID-19.
Mereka juga mendapati vaksinasi dan imuniti semula jadi iaitu antibodi yang terhasil daripada jangkitan semula jadi, boleh memberi perlindungan kepada mereka yang dijangkiti Omicron sekalipun boleh menjangkiti orang lain.
Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud pula berkata, jumlah mutasi varian itu luar biasa tinggi dan dilihat menggabungkan mutasi yang ditemukan pada beberapa VOC lain.
"Beberapa mutasi ini sudah disimulasikan di dalam makmal sebelum ini dan mutasi terbabit menunjukkan kemungkinan berupaya mengatasi antibodi yang terbentuk dalam tubuh pesakit yang pulih serta mereka yang divaksinasi," katanya.
"Masalahnya sekarang ialah mutasi pada pepaku protein.
"Yang membimbangkan kita ialah lebih 30 mutasi ditemukan pada pepaku protein. Kita gunakan pepaku protein untuk menghasilkan antibodi daripada vaksin sedia ada, justeru situasi ini amat membimbangkan, iaitu varian Omicron berkemungkinan dapat melepasi vaksin," kata Dr Loh pula.
Saintis di seluruh dunia sedang menguji keberkesanan vaksin terhadap varian itu dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Namun, berdasarkan laporan berita berkenaan kes-kes awal, semua individu lengkap vaksinasi yang dijangkiti tidak menampilkan sebarang gejala atau hanya bergejala ringan, menunjukkan vaksin masih berkesan dalam melindungi daripada jangkitan teruk dan kematian.
Bagi mereka yang tidak divaksinasi pula dan pulih daripada COVID-19, kemungkinan besar mereka akan dijangkiti sekali lagi, kali ini oleh Omicron, kata WHO.
Pakar berharap kemunculan varian baharu itu akan mendorong mereka yang tidak divaksinasi mendapatkan pelalian COVID-19 dan mereka yang lengkap dua dos vaksin pula akan mengambil dos penggalak.
WHO menyarankan semua negara supaya mengambil langkah-langkah, antaranya memperkukuh sistem pemantauan termasuk pemantauan genom serta sistem pelaporan masing-masing.
Badan dunia itu juga menasihati semua negara dan orang awam untuk terus mematuhi langkah-langkah pencegahan.
Paling penting ialah vaksin dan dos penggalak, diikuti langkah-langkah farmaseutikal seperti penggunaan dua ubat baharu keluaran Merck dan Pfizer untuk merawat COVID-19, dan langkah bukan farmaseutikal, antaranya pemakaian pelitup muka, menambah baik aliran pengudaraan serta amalan penjarakan fizikal.
Dr Awang Bulgiba yang juga Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19, berkata penduduk lebih bersedia untuk mendepani Omicron kerana ada program vaksinasi, namun menurutnya, masih ada ruang untuk penambahbaikan.
"Dalam menangani pandemik ini, pendekatan yang digunakan oleh pihak berkuasa setakat ini lebih banyak bersifat reaktif, bukan proaktif.
Ini menyebabkan kejayaan yang dicapai selepas gelombang kedua terbuang begitu saja, namun negara tidak boleh mensia-siakan kejayaan yang diperoleh daripada program vaksinasi," tegasnya.
Menurut beliau, sebaiknya pihak berkuasa melaksanakan pendekatan 'keseluruhan kerajaan' yang merangkumi kerjasama sebenar antara sektor, membabitkan pakar luar, lebih telus dalam data dan memulakan analisis data masa sebenar.
Pakar kesihatan juga bimbang kit ujian kendiri COVID-19 yang hanya boleh mengesan jika seseorang dijangkiti COVID-19 mungkin 'menyembunyikan' kehadiran Omicron di Malaysia.
Dr Loh berkata, adalah penting untuk mengesan kes Omicron bagi menghadapi kemungkinan VOC itu benar-benar lebih berbahaya daripada Delta, atau untuk mengekang penularan.
"Jika tempoh transmisi virus itu lebih lama berbanding varian lain, ini bermakna tempoh kuarantin yang lebih panjang. Justeru, ujian rapid sangat-sangat membantu," katanya.
Buat masa ini, Omicron hanya boleh disahkan melalui penjujukan genom, namun ujian reverse transcription-polymerase chain reaction (RT-PCR) juga boleh menunjukkan sama ada seseorang itu dijangkiti varian itu.
Sebuah syarikat di Singapura mengeluarkan dua kit ujian yang boleh mengesan Delta dan Omicron.
Nazihah yang juga pakar penyelidik dasar kesihatan awam berkata, kerajaan wajar memantau keadaan dan menerima guna kit ujian yang sewajarnya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pihak berkuasa kesihatan tidak terlalu menumpukan perhatian pada Omicron, sebaliknya meneruskan dan menambah baik kesemua langkah pencegahan sedia ada.
"Berdasarkan bukti semasa, kerajaan perlu bertindak balas terhadap semua varian membimbangkan yang sedang menular di Malaysia, bukan sahaja Omicron," katanya. - BERNAMA
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... teruskan-sop-semasa
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Ada kat Ipoh hari tu...dahle sekeluarga pergi situ...mula viral kata palsu...rupanya cobaaan...eh betul2 kesnya... |
|
|
|
|
|
|
|
hurmm mana2 pon tak selamat now. jaga jelaa sop mcm biasa. nak takot sangat pn tak boleh. kang langsung tak kemana |
|
|
|
|
|
|
| |
|