View: 994|Reply: 0
|
Pelihara kehormatan isteri
[Copy link]
|
|
Pelihara kehormatan isteri
FOTO HIASAN
Antara tanggungjawab lelaki sebagai ketua yang paling utama adalah memelihara ahli keluarga daripada perbuatan dosa dan maksiat sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
Di dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya."
Berdasarkan hadis tersebut, dayus juga bermaksud suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan mengambil peduli perbuatan maksiat yang dilakukan oleh ahli keluarganya.
Justeru kaum lelaki perlu sentiasa diperingatkan tentang peranan utamanya sebagai qawwam atau pemimpin dan pelindung dalam rumah tangga seperti firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34 yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka."
Istilah qawwam berasal daripada perkataan qaim yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela. Seseorang yang qawwam adalah orang yang memiliki sifat qaim secara berterusan, iaitu berterusan mengambil berat, bertanggungjawab, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela kaum wanita. Tugas seorang lelaki yang qawwam ialah melindungi keluarganya daripada sebarang bahaya di dunia dan akhirat serta tidak mengabaikan keluarga.
Selain memastikan keperluan jasmani dan rohani dipenuhi, Islam memerintahkan suami untuk memelihara kehormatan isteri. Suami seharusnya melindungi dan memelihara ahli keluarga daripada perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT serta menyeru mereka untuk taat kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya termasuk budaya yang tidak berakhlak dan bercanggah dengan ajaran Islam. Baru-baru ini media melaporkan tentang trend 'unboxing isteri' yang tular di aplikasi TikTok iaitu perlakuan pasangan pengantin baharu yang memuat naik video menunjukkan pengantin lelaki membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala pengantin terlebih dahulu. Hakikatnya amalan tersebut boleh mengheret suami dalam perbuatan dayus kerana mendedahkan keaiban isteri. Lebih malang lagi, amalan tersebut disebarkan di media sosial sedangkan mendedahkan keaiban adalah perbuatan yang ditegah oleh ajaran Islam.
Justeru persiapan ilmu amatlah penting kepada pasangan suami isteri agar dapat mengelakkan diri dari terjerumus dalam perbuatan maksiat lebih-lebih lagi dalam arus media sosial tanpa batasan. Ajaran Islam mengajarkan beberapa amalan terbaik buat pasangan pengantin baharu selaras dengan tuntutan syariat, bukan amalan yang tidak diketahui asal usulnya. Antara amalan yang diharuskan untuk dilakukan oleh pasangan pengantin baharu adalah seperti melaksanakan solat sunat dua rakaat selepas pernikahan.
Perbuatan tersebut menjadi permulaan yang baik dalam melayari bahtera rumah tangga yang sejahtera. Solat sunat selepas nikah digalakkan berdasarkan amalan sahabat sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya yang mana seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Abdullah bin Mas'ud RA lalu berkata: "Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang hamba perempuan yang masih dara dan aku takut dia akan membenciku. Berkata Abdullah bin Mas'ud: "Sesungguhnya rasa kasih sayang serta kelembutan itu daripada Allah dan kebencian itu daripada syaitan. Dia (syaitan) mahu menyemai rasa kebencian kepada kalian apa yang telah Allah halalkan. Sekiranya kamu mendatangi isterimu, arahkan dia untuk solat dibelakangmu dua rakaat." (Riwayat Ibn Abi Syaibah)
Selain itu, sunat hukumnya mendoakan isteri yang baru dinikahi sambil meletakkan tangan di atas ubun-ubun isteri dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya." (Hadis riwayat Abu Daud)
Abdullah Ibn Mas'ud juga mengajarkan doa yang bermaksud: "Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku dan rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan dan jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan." (Hadis riwayat Abdurrazzaq)
Semua amalan yang dianjurkan ini bukanlah bertujuan dipertontonkan kepada umum sebaliknya bagi meraih keredaan Allah SWT dalam perkahwinan dengan memelihara adab dalam beramal.
Bagi memastikan kaum lelaki mempersiapkan diri dengan bekalan secukupnya dalam memimpin bahtera rumah tangga dan keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif membincangkan isu pemerkasaan peranan kaum lelaki melalui Persidangan Meja Bulat Inisiatif Lelaki Qawwam.
Antara resolusi yang dicapai adalah untuk mempergiatkan program pemantapan akidah supaya dapat berperanan sebagai khalifah yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab yang berkualiti berpaksikan nilai-nilai ajaran Islam serta mempraktikkan nilai-nilai kekeluargaan Islam. Di Wilayah Persekutuan, semua pasangan yang bakal melangsungkan pernikahan diwajibkan untuk mengikuti Kursus Praperkahwinan Islam berpandukan modul khusus bertujuan memberikan pendedahan tentang pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat menjadi bekalan agar kebahagiaan yang dibina dalam rumah tangga selaras dengan tuntutan agama.
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... a-kehormatan-isteri
|
|
|
|
|
|
|
| |
|