|
KEVIN Dugar (kiri) dan Karl Smith. FOTO Agensi
Illinois: Seorang lelaki di Chicago, Amerika Syarikat terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua dekad atas kesalahan jenayah yang dilakukan kembarnya.
Kevin Dugar disabitkan pada 2005 dan dijatuhi hukuman penjara 54 tahun kerana membunuh.
Namun, minggu lalu, dia dibebaskan dari penjara Cook County selepas pendedahan kembarnya, Karl Smith yang mengaku terbabit jenayah tembakan berkumpulan 20 tahun lalu.
Menurut The Guardian, adik-beradik itu sentiasa tidak dapat dipisahkan hingga saudara, rakan dan guru pun tidak dapat membezakan kembar seiras itu.
Namun, mereka mempunyai nama keluarga yang berbeza kerana Smith mengambil nama keluarga ibunya.
Ketika berusia 20-an, kedua-duanya terbabit menjual dadah di Chicago.
Keadaan berubah bagi pasangan kembar itu apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah tiga individu di kawasan Uptown Chicago hingga membunuh seorang lelaki dan mencederakan seorang lagi.
Polis menahan Dugar, yang mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan menolak perjanjian pengakuan mengurangkan hukuman penjara selama 11 tahun.
Ketika itu, Dugar bertanya kepada kembarnya sama ada dia dalang pembunuhan itu, namun Smith menafikan hingga membuatkan abangnya itu mempercayainya.
Sky News melaporkan, Smith menjalani hukuman 99 tahun kerana jenayah berasingan iaitu rompakan bersenjata yang mengakibatkan kematian kanak-kanak lelaki enam tahun.
Hanya pada 2013, Smith menerusi satu surat akhirnya mengaku melakukan jenayah itu.
Dia juga memohon maaf kepada Dugar. - Agensi
|
|