|
BISHOP menunjukkan gigi palsu hilang yang ditemui semula. FOTO agensi.
London: Seorang lelaki tidak menyangka akan menemui semula gigi palsunya yang hilang lebih sedekad lalu selepas menerima sebuah bungkusan baru-baru ini.
Paul Bishop, yang kini menetap di Stalybridge berkata, gigi palsunya itu hilang ketika dia meraikan ulang tahun kelahiran rakannya di Benidorm, Sepanyol, 11 tahun lalu.
"Pada ketika itu, saya minum banyak dan muntah di tong sampah berdekatan.
"Saya kemudian menyedari gigi palsu yang dipakai ketika itu hilang sebelum saya dan rakan kembali ke tong sampah mencarinya, namun kami tidak menjumpainya," katanya kepada Manchester Evening News.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut menerima bungkusan mengandungi gigi palsu itu daripada pihak berkuasa Sepanyol, minggu lalu.
"Bungkusan itu turut disertakan surat yang memaklumkan gigi palsu itu disimpan bertahun-tahun sebelum menjejaki pemiliknya menggunakan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
"Saya tak ingat bila ada buat ujian itu, tetapi saya pasti mungkin daripada rekod data hasil ujian yang saya lakukan secara sukarela bertahun-tahun lalu," katanya.
Bishop berkata, dia kagum bagaimana pihak berkuasa Sepanyol berjaya menjejakinya berikutan dia sudah menukar tiga kali alamat selepas peristiwa berkenaan.
"Daripada data ujian DNA itu, mereka menghubungi pihak kedutaan London dan menemui alamat saya.
"Saya sangat kagum mereka meluangkan masa untuk mencari saya dan mengembalikan semula gigi palsu saya ini," katanya kepada Sky News.
Katanya, dia berhasrat mempamerkan gigi palsu itu di tempat kerjanya sebagai kenangan berikutan ia tidak muat lagi dipakai.
|
|