Pesawat kargo DHL dilihat dalam keadaan pecah dua selepas melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santa Maria di San Jose, Costa Rica, kelmarin. — Gambar AFP
SAN JOSE: Sebuah pesawat kargo pecah dua ketika melakukan pendaratan kecemasan di Costa Rica kelmarin, dalam satu kemalangan yang menyebabkan penutupan sementara lapangan terbang antarabangsa di San Jose.
Asap yang berkepul-kepul keluar dari pesawat berwarna kuning terang milik gergasi logistik Jerman DHL ketika ia mendarat untuk berhenti, telah tergelincir keluar dari laluan apabila ia berpusing dan pecah di sekitar bahagian tayar depan.
Dua anggota kru di dalamnya berada “dalam keadaan baik,” menurut ketua bomba Costa Rica, Hector Chaves.
Bagaimanapun, kedua-dua anggota kru yang berasal dari Guatemala itu telah dihantar ke hospital sebagai satu langkah berjaga-jaga “bagi pemeriksaan perubatan,” menurut Guido Vasquez, seorang kakitangan Palang Merah.
Juruterbang tersebut berada dalam keadaan terkejut namun kedua-dua kru dalam keadaan sedar dan “mengingati semua kejadian dengan jelas,” tambah Vasquez.
Kemalangan berlaku hanya sebelum jam 10.30 pagi waktu tempatan selepas pesawat Boeing-757, yang berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Juan Santamaria di luar San Jose, telah terpaksa untuk kembali 25 minit kemudian bagi melakukan pendaratan kecemasan berpunca daripada satu masalah teknikal.
Nampaknya kru terbabit telah memaklumkan pihak berkuasa tempatan mengenai masalah hidraulik.
Lapangan terbang ditutup sehingga jam 6 petang waktu tempatan. — AFP
utusanborneo.com.my/2022/04/09 |