|
WEE Kiong (kiri) dan Kian Meng mara ke pusingan kedua Masters Korea. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Kuala Lumpur: Semangat muncul juara Terbuka Korea dibawa Tan Kian Meng sehingga ke Masters Korea apabila dia dan pasangan, Tan Wee Kiong menumpaskan pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan di pusingan pertama, hari ini.
Kian Meng-Wee Kiong yang mula bergandingan sejak tahun lalu dipaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 21-11, 16-21, 22-20 di Stadium Gwangju Yeonju.
Kian Meng yang tidak beraksi dalam saingan beregu campuran di Masters Korea, mengakui kombinasi dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Wee Kiong semakin bagus dan ia membawa kepada kejayaan mereka, hari ini.
"Bagaimanapun, masih banyak lagi perlu dipertingkatkan. Saya dibantu dengan semangat selepas menang Terbuka Korea minggu lalu.
"Jadi saya harap boleh teruskan permainan terbaik," katanya yang muncul juara beregu campuran Terbuka Korea, Ahad lalu bersama gandingan, Lai Pei Jing.
Ditanya mengenai perbezaan beraksi dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran, pemain berusia 28 tahun itu berkata, memang ada sedikit kelainan, namun tugasnya tetap sama iaitu banyak mengawal di bahagian belakang.
Menanti mereka di pusingan kedua ialah pasangan tuan rumah, Choi Solgyu-Kim Wonho yang sebelum itu mengalahkan rakan senegara, Yong Jin-Na Sung Seung, 21-19, 21-11.
Sementara itu, satu lagi pasangan profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah tersingkir selepas kalah kepada Gwang Min Na-Jin Seong Noh (Korea Selatan), 19-21, 18-21.
Bagaimanapun, khabar gembira dititipkan beregu campuran negara yang juga pilihan keempat, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila mara ke pusingan kedua selepas menumbangkan wakil tuan rumah, Wang Chan-Jung Kyung Eun, 21-12, 21-12.
Mereka yang bergerak secara profesional akan berdepan gandingan Israel, Misha Zilberman-Svetlana Zilberman untuk memburu tempat ke suku akhir.
Satu lagi pasangan beregu campuran negara, Choong Hon Jian-Yap Cheng Wen terkandas apabila tumpas kepada gandingan China, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong 16-21, 5-21.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ee-kiong-terus-mara |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|