|
Aksi Hafizh (depan) pada Pusingan 1 WSBK, hujung minggu lalu. Foto MIE Racing Honda Team
KUALA LUMPUR: Pelumba negara di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah berharap akan ada lebih banyak data diperoleh pasukannya, MIE Racing Honda Team menjelang perlumbaan Pusingan 2 yang dijadual berlangsung di Litar TT Assen, Belanda dari 22 hingga 24 April ini.
Ini termasuklah mengenai perbandingan maklumat antara Hafizh, rakan sepasukan dan dua pelumba dari pasukan utama pengeluar bagi membolehkan pasukan mengetahui kekurangan dimilikinya.
"Saya harap di perlumbaan akan datang, kami akan ada lebih banyak data daripada pengeluar kerana perlumbaan kali ini, kami tidak meraih apa-apa maklumat daripada mereka untuk membandingkan antara saya dengan dua pelumba pengeluar serta yang lain.
"Saya harap, saya dapat melakukan yang terbaik di perlumbaan akan datang," kata Hafizh.
Pada pusingan pembuka tirai di Litar Aragon, Sepanyol minggu lalu, Hafizh yang membuat penampilan sulung di kejuaraan berkenaan dalam kelas WorldSBK menamatkan dua perlumbaan masing-masing di tempat ke-21 dan ke-20.
Ternyata ia masih proses pembelajaran buat Hafizh yang sebelum ini lebih banyak menimba pengalaman di Kejuaraan Motosikal Dunia - satu kejuaraan yang amat berbeza dengan WSBK.
"Pada perlumbaan kali ini, banyak pengalaman yang saya belajar dari segi elektronik, tayar dan sebagainya. Memang berbeza kerana ia satu kejuaraan berlainan daripada yang pernah saya berlumba di Kejuaraan Dunia sebelum ini.
"Saya harap di perlumbaan akan datang, pasukan dapat melakukan sesuatu terhadap jentera, supaya kita boleh melakukan catatan masa ataupun meraih posisi lebih baik di Assen dan lebih dekat dengan kelompok pelumba depan," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|