View: 3150|Reply: 1
|
Anggaplah Ramadan dan Hari Raya bukan pesta mercun dan bunga api!
[Copy link]
|
|
Mencari titik kesudahan
Insiden seorang warga emas yang cedera selepas balingan mercun meletup dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus baru-baru ini membuktikan anggota masyarakat kita masih sukar untuk meninggalkan budaya bermain mercun pada setiap musim perayaan. Menurut laporan, mangsa mengalami pendarahan telinga di samping hilang pendengaran selama beberapa jam akibat letupan berkenaan.
Kejadian itu juga menjelaskan mercun boleh menjadi ancaman yang besar kepada semua, justeru kita harap anggota masyarakat yang masih degil akan mengambil iktibar dan tidak lagi meletakkan diri dan orang lain dalam situasi yang berisiko dan bahaya. Harus diingat hampir setiap tahun sebelum ini dilaporkan pelbagai berita kecederaan dan kecelakaan angkara bermain mercun terutamanya membabitkan anak-anak sehingga ada yang mengalami kecacatan kekal.
Ia penting untuk diberi perhatian serius kerana tempoh pertengahan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri adalah waktu yang cukup kritikal kerana kebiasaannya ramai yang mula mencari, membeli dan bermain mercun. Jujurnya, kita perlu keluar daripada amalan dan budaya seolah-olah Ramadan dan Aidilfitri tidak lengkap jika tidak dihiasi dengan dentuman bunga api dan mercun.
Dalam konteks ini, kita perlu memberi perhatian kepada punca iaitu penjual yang menyeludup masuk mecun untuk dijual di pasaran tempatan serta meraih keuntungan besar dalam sekelip mata. Ironinya, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa namun, aktiviti penyeludupan dan penjualan dilihat tetap rancak dan sukar dibendung.
Misalnya, pihak polis Kelantan dilaporkan berjaya merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai RM400,000 sejak awal Ramadan, manakala dalam satu lagi kejadian baru-baru ini pihak berkuasa juga menemukan enam guni mercun bola bernilai RM4,800 yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan yang terbabas. Ternyata pembukaan sempadan memudahkan aktiviti sindiket penyeludupan mercun seperti ini khususnya dibawa masuk dari Thailand.
Pihak berkuasa juga kelihatan berhadapan dengan cabaran untuk membendung aktiviti penjualan mercun kerana jika sebelum ini jualan mercun sering dilakukan secara sembunyi sekarang peniaga juga dilihat lebih berani dan semakin licik serta bijak menggunakan pelbagai kaedah untuk menjual mercun termasuklah menggunakan media sosial seperti Facebook.
Harus diingat menjelang Aidilfitri nanti pasti lebih banyak lagi usaha akan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyeludup bahan terlarang ini demi meraih keuntungan yang berlipat ganda dalam jangka masa yang pendek. Jujurnya kumpulan ini tidak pernah berputus asa malah sentiasa menunggu peluang seperti ini untuk menangguk di air keruh.
Dalam hal ini, apa yang membimbangkan kita ialah pesta mercun dan bunga api ini saban tahun meningkatkan jumlah kemalangan dan kecacatan fizikal dalam kalangan kanak-kanak di negara kita. Bilangan anak-anak yang kudung, buta dan cacat anggota badan lain secara kekal akibat penggunaan mercun dan bunga api dilihat semakin bertambah dan merisaukan semua pihak. Akibatnya juga kedatangan Aidilfitri seolah-olah tidak lagi menjanjikan kegembiraan yang diharapkan kepada sebilangan besar kanak-kanak dan ibu bapa di negara ini.
Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dan menyokong kempen 'katakan tidak pada mercun' sekali gus meninggalkan budaya bermain mercun di musim perayaan. Ia tidak mustahil dilakukan kerana tidak akan ada penawaran andai tiada permintaan. Jualan mercun berleluasa kerana anak-anak kita mahukannya. Walaupun pihak berkuasa berusaha keras untuk membanteras penyeludupan dan penjualan mercun namun tanpa kerjasama dan komitmen ibu bapa dan masyarakat masalah ini semakin sukar untuk ditangani.
Oleh itu, di samping tanggungjawab pihak berkuasa, peranan ibu bapa dan masyarakat juga ditagih dalam mengatasi kemelut ini di mana mereka perlu lebih agresif dan aktif dalam mengawal anak-anak daripada terjebak ke dalam pesta mercun ini. Sematkan dalam diri dan pemikiran anak-anak untuk katakan tidak pada mercun. Kita perlu memastikan anak-anak tidak membazir dengan membeli mercun yang akhirnya boleh mengancam nyawa mereka.
Lebih malang lagi jangan kita pula yang membelikan mercun untuk bermain dengan kawan-kawan mereka. Pantau semua aktiviti anak-anak terutamanya di musim perayaan seperti ini. Mereka bukan saja membeli mercun malah yang terlebih cerdik dan nakal itu mula menggubahsuai mahupun membuat mercun sendiri yang dilihat lebih berbahaya dan boleh mengancam keselamatan diri masing-masing.
Kesimpulannya, kita masih menaruh harapan yang tinggi kepada pihak berkuasa agar terus mengawal dan mempergiatkan aktiviti pemantauan di pintu-pintu sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan. Di samping itu perlu ada inisiatif untuk menghalang aktiviti penjualan mercun khususnya dalam media sosial.
Sebagai pengajaran, pihak yang didapati menyeludup dan ditangkap perlu dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman yang keras dan setimpal supaya menjadi iktibar dan peringatan kepada orang lain agar tidak melakukan perbuatan yang sama. Malah, penulis juga ingin mencadangkan agar ibu bapa yang lalai, leka, cuai dan terus membenarkan anak-anak membeli dan bermain mercun turut dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Selama ini bermain mercun dilihat sudah menjadi satu adat dan tradisi dalam kalangan masyarakat kita terutamanya anak-anak ketika menyambut perayaan namun kita perlu sedar betapa tradisi yang berbahaya seperti ini tidak wajar lagi dibudayakan mahupun diteruskan. Sudah sampai masanya untuk kita mengubah tradisi seperti ini dan katakan tidak pada mercun. Biarlah kita sambut Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan dan jangan sesekali biarkan mercun meragut kegembiraan itu.
Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa
|
|
|
|
|
|
|
|
igt senang2 camtu nak cancel? setelah 60 tahun doktrinisasi |
|
|
|
|
|
|
| |
|