Ibu (duduk-tengah) Reda Dengan Takdir (Sumber Mstar)
Bukan mudah bagi seseorang menerima kenyataan apabila salah satu pancaindera tiba-tiba hilang fungsi. Kehidupan seorang wanita yang tiba-tiba buta ketika anak-anaknya sedang membesar adalah ujian berat buatnya.
Siti Hajar Razak yang berkongsi kisah itu kepada Mstar berkata, ibunya iaitu Zaiton Shaari menjalani kehidupan serba mencabar pada awal menjalani kehidupannya dalam 'dunia' yang gelap.
Ketika penglihatan Zaiton masih baik, dia bekerja di stesen minyak di Chemor, Perak dan dia tinggal bersama abang sulung serta arwah Siti Hajar.
"Mama jadi macam tu sebab glaukoma. Dia kehilangan penglihatannya pada 1989 pada ketika usianya baru 28 tahun. Mama tengah goreng telur dan dia rasa tak nampak apa-apa. Dia kemudian terus panggil abang sulung minta dia tengokkan mata kalau-kalau ada bendasing. Tetapi, malangnya tiada apa-apa pun.
"Mama kemudian buat keputusan untuk balik kampung di Sungai Buaya, Nibong Tebal di Pulau Pinang dan tinggal bersama mak tok. Mama cakap lebih mudah sebab dia dah hafal selok belok rumah sebab membesar di sana.
Sumber Mstar
Kata wanita berusia 25 tahun itu, ibunya ada menceritakan kepadanya bahawa dia pernah melalui fasa murung hingga kehilangan selera makan kerana terlalu sedih dengan nasib yang menimpa diri.
"Awalnya, mama tak dapat terima keadaan diri tapi lama-lama dia reda dan anggap ia ujian daripada Allah. Mama dan abah kemudian pindah ke rumah sewa dan tinggal di situ selama 12 tahun sebelum abah bina rumah sendiri.
"Rumah itu abah buat ikut perancangan mama sebab untuk memudahkan pergerakkannya dalam rumah," kata anak bongsu daripada tiga adik beradik itu.
Ibunya yang kini sudah berusia 61 tahun mempunyai pendengaran yang baik. Dia dapat mengenali seseorang itu melalui suara. Bukan itu sahaja, ibunya juga cekap melakukan kerja rumah termasuk memasak dengan sempurna.
"Mama mungkin kehilangan penglihatannya tetapi dia sangat cekap buat kerja rumah. Setiap hari sapu sampah. Di bahunya pula sentiasa ada kain buruk digunakan untuk membersihkan rumah. Ikan pun dia boleh siang dan basuh dengan bersih.
"Dia siap boleh tahu kalau rumah kotor dan mula bising. Tak lama lagi nak sambut raya, dia la yang paling sibuk mengemas. Ada juga dia terkena periuk dan kuali panas tetapi mama anggap ia sebagai perkara biasa. Sepanjang menjalani kehidupannya seperti itu, mama tak pernah pun pakai baju terbalik," katanya.
Kata Siti Hajar lagi, ibunya adalah seorang yang periang. Sikapnya itu membuatkan dia menerima takdir dengan lebih mudah. Dia bertambah gembira dengan kehadiran cucu-cucunya. -CARI
|