CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 326|Reply: 0

[Tempatan] MYSaveFood kumpul dan agih makanan yg tak terjual di bazar Ramadan kepada yg lebih memerlukan

[Copy link]
Post time 19-4-2022 02:52 PM | Show all posts |Read mode
bernama.com
MYSaveFood edar makanan tak terjual di bazar Ramadan, elak pembaziran
4-6 minutes

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Ibarat peribahasa serampang dua mata, itulah inisiatif projek MYSaveFood@Ramadan yang bertujuan membantu golongan memerlukan di samping mengelakkan pembaziran makanan di bazar Ramadan.

Usaha Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) yang memasuki  tahun keenam itu bertujuan mengumpulkan makanan tidak terjual dari bazar Ramadan terpilih untuk diedarkan kepada golongan memerlukan di kawasan berhampiran.

Kapten MYSaveFood@Ramadan Fakhrul Razi Zainol Abidin berkata sejumlah 4,119.80 kilogram (kg) makanan dan minuman berjaya diselamatkan dari peniaga di 11 bazar Ramadan di beberapa negeri, dalam tempoh 12 hari kempen tersebut dijalankan bermula 4 April lepas.

“Projek ini sudah bermula sejak 2016 namun, terhenti seketika pada 2020 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kami akan kenal pasti setiap wakil atau penerima, contohnya pusat tahfiz, masjid atau gelandangan daripada senarai nama yang disimpan. Namun, jika sumbangan makanan itu sudah berlebihan, kami akan hubungi wakil di kawasan lain dan bertanyakan jika mereka memerlukannya atau tidak,” katanya kepada Bernama.

Inisiatif itu turut mendapat kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, Pengerusi GEMA cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Vikneshvaran Tanabalam @ Hadi berharap lebih ramai sukarelawan tampil membantu menjayakan projek ini bagi memperbanyakkan penglibatan bazar.

“Buat masa ini, kemampuan kami di ibu kota hanya melibatkan bazar Ramadan Kampung Baru susulan kekurangan sukarelawan,” katanya.

Beliau berkata  orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh melayari https://bit.ly/VolunteerMySF untuk mendaftar atau laman sosial Facebook Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia untuk maklumat lanjut.

Berkongsi aspirasi sama, SWCorp turut menganjurkan sesi libat urus kempen ‘Hargai Makanan Elak Pembaziran’ sempena Ramadan bertemakan #JomTapau yang juga bertujuan mengurangkan pembaziran makanan dan jumlah sisa makanan di tapak pelupusan bagi mengelakkan kesan pencemaran dan pemanasan global.

“Sebanyak 36 peratus daripada keseluruhan sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan adalah sisa makanan dan daripada jumlah tersebut, 76 peratus merupakan sisa makanan tidak boleh dielak manakala bakinya 24 peratus sisa makanan yang boleh dielak.

“Selain itu, lambakan sisa makanan di tapak pelupusan juga akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan global akibat pembebasan gas metana yang terhasil daripada proses penguraian sisa makanan yang memberi kesan ke atas pemanasan bumi sebanyak 34 kali lebih besar berbanding gas karbon dioksida,” kata Pengerusi SWCorp  Datuk Rizalman Mokhtar dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bagi mendidik masyarakat dan pengendali makanan membuat perancangan semasa membeli-belah seterusnya menghargai makanan bagi mengurangkan penghasilan sisa pepejal terutamanya sisa makanan.

“Amalan berlebih-lebihan dalam penyediaan dan pembaziran makanan perlu dielakkan agar ia tidak berakhir di tapak pelupusan sebagai usaha menjadikan Malaysia negara yang bersih, indah dan sejahtera,” katanya.

-- BERNAMA




sumber: bernama.com

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-9-2024 12:30 PM GMT+8 , Processed in 0.044009 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list