|
(DARI kiri), Johnathan bersama Hayati, Mohd Firdaus dan Nurul Syasya Nadiah pada sidang media hari ini. FOTO AMIRUL JOHARI
Kuala Lumpur: Meskipun bakal membuat penampilan kali keenam di Sukan Sea, penembak negara, Johnathan Wong tidak menganggap ia akan memberi kelebihan kepadanya pada edisi seterusnya di Hanoi, Vietnam, bulan depan.
Sebaliknya Johnathan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 berkata, persiapan dirinya menjelang temasya itu adalah jauh lebih penting berbanding hanya bersandarkan kepada pengalaman lalu.
"Kalau diikutkan, ini adalah Sukan Sea keenam saya. Kalau nak kata mengenai pengalaman, saya percaya pesaing di Sukan Sea pun mempunyai banyak pengalaman juga.
"Namun apa yang penting adalah bagaimana kita mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran kerana bagi saya setiap Sukan Sea itu berbeza, bukan setiap Sukan Sea itu sama.
"Sebagai atlet, kami harus mengikut situasi semasa kerana peraturan permainan berubah dari semasa ke semasa. Oleh itu, adaptasi itu agak penting," katanya pada sidang media menjelang Sukan Sea Vietnam di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Hadir sama, pengurus pasukan, Hayati Shamsuri; jurulatih Mohd Firdaus Abd Rahim dan penembak wanita, Nurul Syasya Nadiah Mohd Ariffin.
Pemenang pingat emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu akan menyertai empat acara di Hanoi iaitu air pistol lelaki individu, air pistol berpasukan lelaki, air pistol berpasukan campuran dan 50m pistol lelaki.
Kem menembak kali ini disertai 22 atlet dan lima pegawai dengan sasaran diletakkan adalah satu pingat emas dan empat gangsa.
Pada edisi 2019 di Filipina, skuad menembak meraih dua perak dan empat gangsa, sekali gus menamatkan kempen di tangga keempat keseluruhan daripada enam negara.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... da-sukan-sea-keenam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|