View: 445|Reply: 0
|
'Otai' lapang sasar ada misi tersendiri
[Copy link]
|
|
CHARLES mahu terus menabur bakti dalam arena sukan negara, FOTO Ihsan Charles Chen
Kuala Lumpur: Atlet 'otai' negara bagi acara menembak masih mempunyai misi yang belum diselesaikan dalam Sukan Sea apabila dia tidak pernah menggenggam sebarang pingat emas sejak penglibatan pertamanya pada tahun 1987.
Charles Chen, 56, yang mula menempatkan diri dalam sukan ini seawal usia 20-an berharap dia mampu melakar sejarah buat negara dan juga dirinya sendiri pada temasya Sukan Sea Hanoi yang akan berlangsung bulan hadapan.
"Saya pernah mewakili negara bagi kategori individu dan berpasukan sejak 1987, tapi belum pernah memenangi pingat emas lagi.
"Sudah semestinya pingat emas yang saya cari sekarang ini. Kalau pingat perak dan gangsa itu saya dah beberapa kali dapat," katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Atlet berasal dari Kuala Lumpur itu tidak meletakkan sebarang sempadan umur buat dirinya untuk 'mengangkat kaki' dari acara itu. Sebaliknya dia terus mahu menabur bakti dalam arena sukan negara.
"Ini bukan Sukan Sea yang terakhir. Saya masih mahu mewakili dan membantu negara, jadi tak boleh berhenti lagi.
"Saya tak letakkan had umur untuk berhenti. Ini kerana atlet luar negara ada juga umurnya yang sudah mencecah 60 tahun," katanya.
"Keadaan mental lebih mustahak sebab kita tak akan boleh menembak dengan tepat kalau fikiran bercelaru. Pengalaman juga antara faktor yang membantu dalam prestasi seseorang itu.
"Jadi apa yang saya selalu buat ialah yoga dan bermeditasi. Kadang-kadang saya keluar bermain golf," katanya.
Charles berpendapat atlet yang akan memberi saingan hebat buat negara adalah wakil dari Vietnam, Singapura dan Thailand disebabkan mereka mempunyai rekod yang agak baik dalam acara ini.
Walaupun begitu, bapa kepada tiga orang anak ini tetap positif dengan kemampuan daripada skuad menembak negara yang sudah membuat persiapan rapi menjelang temasya dwitahunan itu.
Pada edisi Sukan Sea 2015 di Singapura, Charles berjaya merangkul dua pingat perak bagi kategori individu dan berpasukan sekali gus menjadikan pencapaian terbaiknya sepanjang menyertai temasya ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ada-misi-tersendiri |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|