View: 468|Reply: 0
|
Ujian sebenar Aaron-Wooi Yik
[Copy link]
|
|
Aaron-Wooi Yik berdepan He Ji Ting-Zhou Hao Dong pada aksi pembukaan BAC esok.
KUALA LUMPUR: Kemampuan sebenar beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan benar-benar diuji apabila mereka memulakan cabaran di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina bermula esok.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berdepan ujian sukar bermula di pusingan pertama apabila dijadual menentang pasangan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong.
Jika berjaya mengatasi Ji Ting yang juga bekas pemenang perak Kejohanan Dunia dan pasangannya itu, Aaron-Wooi Yik akan bertemu sama ada beregu Hong Kong, Chow Hin Long-Lui Chun Wai atau Danny Bawa Chrisnanta-Andy Kwek Jun Liang bagi merebut tiket ke suku akhir.
Sekiranya melepasi pusingan kedua, aksi kelompok lapan terbaik pula bakal menyaksikan pasangan nombor sembilan dunia itu diramal bertemu juara baharu Seluruh England dari Indonesia, Mohd Shohibul Fikri-Bagas Maulana untuk memburu tiket ke separuh akhir.
Pasangan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan yang diletakkan sebagai pilihan pertama dijangka menanti Aaron-Wooi Yik sekiranya masing-masing mara ke kelompok empat terbaik.
Saingan BAC menjadi satu lagi peluang buat Aaron-Wooi Yik untuk menamatkan penantian merangkul gelaran sulung di pentas antarabangsa sejak digandingkan pada 2017 dengan pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah tujuh kali muncul naib juara termasuklah di Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.
Selain Aaron-Wooi Yik, tiga lagi beregu lelaki negara akan beraksi di Manila iaitu juara Terbuka Jerman, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; Tee Kai Wun-Man Wei Chong dan pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Izzuddin-Sze Fei akan membuka tirai saingan bertemu pasangan Filipina, Solomon Jr Padiz-Julius Villabrille manakala Ee Yi-Yew Sin pula diundi berdepan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Yeung Ming Nok sementara Kai Wun-Wei Chong menentang Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn dari Thailand.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky sebelum ini berkata saingan BAC sebagai aksi pemanas badan terbaik buat barisan pemain beregu negara sebelum menghadapi saingan Piala Thomas bulan depan.
Jurulatih dari Indonesia itu, berkata dengan kehadiran semua pemain utama di Asia, pemain negara berpeluang menilai tahap prestasi semasa mereka sebelum menghadapi Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei.
"Jadi, dengan adanya BAC ia akan menjadi sebahagian daripada persiapan pasukan kita sebelum Piala Thomas. Dengan kejohanan ini bertaraf Super 1000 dan semua pasukan menyenaraikan pemain terkuat mereka, ia adalah persiapan terbaik sebelum ke Bangkok," kata Rexy.
https://www.bharian.com.my/sukan ... enar-aaron-wooi-yik |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|