|
SHAH Firdaus (dua dari kanan) pada aksi akhir keirin di Glasgow, Ahad lalu. FOTO Ihsan Facebook Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Kuala Lumpur: Gagal menaiki podium dalam acara keirin di Sirkit 1 Piala Negara-Negara UCI di Glasgow, Scotland, Ahad lalu, jelas mengundang rasa kecewa buat pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Menurutnya, ketika aksi final di Velodrom Sir Chris Hoy, dia berada di kedudukan terbaik bagi meraih penamat podium, namun semuanya musnah gara-gara pelanggaran kecil di hujung perlumbaan.
"Ia adalah persaingan sukar sejak di pusingan pertama lagi, tetapi saya berjaya melayakkan diri ke final bagi perebutan tempat pertama hingga keenam.
"Ketika aksi final keirin, saya berada di kedudukan terbaik bagi menaiki podium ketika berbaki satu lagi pusingan.
"Malangnya, berbaki setengah pusingan menuju ke garisan penamat, pelanggaran kecil berlaku, tetapi mujur saya berjaya mengelak daripada kemalangan dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima," kata pelumba berusia 27 tahun itu menerusi hantaran di Instagram miliknya, semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasinya dalam acara pecut, Shah Firdaus berkata, dia berpuas hati apabila mampu mengekalkan catatan masa di bawah 10 saat.
"Untuk acara pecut, saya berjaya mengekalkan aksi konsisten apabila mencatat masa di bawah 10 saat dan menamatkan saingan di kedudukan ke-12 secara keseluruhan.
"Di sebalik keputusan yang dilakar, terdapat petanda positif dalam saingan kali ini," katanya.
Masih ada berbaki dua lagi sirkit untuk saingan Piala Negara-Negara UCI tahun ini iaitu di Milton, Kanada pada 12 hingga 15 Mei ini dan di Cali, Colombia bermula 7 hingga 10 Julai depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -naik-podium-keirin |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|