|
SYAFIQ memenangi emas 3 meter papan anjal. FOTO Eizairi Shamsudin
Hanoi: Pingat emas diraih Muhammad Syafiq Puteh dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu di Pusat Akuatik My Dinh dihadiahkan kepada anak sulungnya, Nuraisya Zulaikha yang menyambut ulang tahun kedua, esok.
Syafiq, 27, memenangi emas ketujuh buat pasukan terjun di Sukan Sea Vietnam 2021 dengan kutipan 381.35 mata manakala rakan sepasukan Gabriel Gilbert Daim meraih perak, 357.30 mata.
Melengkapkan podium di tempat ketiga adalah penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon, 340.35 mata.
Syafiq berkata, emas sulung dalam acara itu tentunya amat berharga selepas kali terakhir memenangi emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Jasmine Lai Pui Yee.
"Emas kedua selepas Kuala Lumpur 2017. Di Filipina, saya meraih perak manakala Ooi Tze Liang meraih emas. Ini emas pertama saya (dalam acara 3m papan anjal individu). Tentunya saya gembira kerana sudah lama saya mengambil pengalaman di luar negara terutama untuk individu.
"Setiap kali (sebelum ini) saya mengambil pengalaman dan saya berikan yang terbaik," kata Syafiq kepada media, hari ini.
"Kemenangan paling bermakna kerana esok hari jadi anak saya. Saya hadiahkan emas ini untuk hari jadi anak sulung saya, Nuraisya Zulaikha yang berusia 2 tahun," tambah Syafiq lagi di samping menjelaskan sudah hampir dua bulan tidak bertemu dengan anaknya sebagai persediaan ke Hanoi.
Ditanya mengenai prestasinya hari ini, Syafiq berkata: " (Tekanan) itu memang tinggi kerana MAS (Persatuan Renang Malaysia) untuk mengganti tempat Ooi Tze Liang untuk 3m individu. Syukur, saya dapat konsisten."
Skuad terjun Malaysia mempunyai rekod cemerlang dalam acara terjun sejak edisi Myanmar 2013 yang menyaksikan pasukan muncul juara keseluruhan pada ketika itu dengan lapan emas, tiga perak dan satu gangsa.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... diah-hari-jadi-anak |
|