|
AKSI Zii Jia ketika bertemu Momota. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di lihat berada di tahap terbaiknya apabila mudah menundukkan bekas pemain nombor satu dunia, Kento Momota ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam tadi.
Namun itu bukan satu ukuran kejayaan dengan Zii Jia dituntut untuk terus mengekalkan rentak terbaik apabila turun bertemu India dalam aksi suku akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand malam ini.
Zii Jia berpeluang untuk membalas dendam terhadap Lakshya Sen yang menjadi penghalang dia mempertahankan gelaran juara di Seluruh England apabila tewas di peringkat separuh akhir Mac lalu.
Aksi kedua-duanya cukup penting untuk meraih mata pertama buat negara masing-masing seterusnya mencetuskan kebangkitan kemenangan seterusnya.
"Saya rasa, ia akan menjadi perlawanan yang sukar sebab masing-masing nak menang dan bagi mata untuk negara.
"Dia pasti akan berikan yang terbaik dan saya juga. Saya akan berjuang untuk negara," katanya.
Terdahulu Malaysia berjaya muncul juara Kumpulan D selepas melakarkan kemenangan menewaskan Jepun 3-2 untuk mara ke suku akhir selain menang ke atas England dan Amerika Syarikat.
Sekiranya berjaya mengatasi India, skuad Piala Thomas negara dijangka akan berdepan sama ada Denmark atau Korea Selatan yang turun dalam satu lagi aksi suku akhir.
"Sukar untuk katakan siapa yang kuat kali ini sebab saya rasa semua lapan pasukan yang layak ke suku akhir ada peluang yang sama rasa. Ramai pemain utama juga kalah seperti Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia).
"Biarpun Indonesia juara tahun lalu tapi kali ini mereka juga dilihat bergelut sebab tiada Marcus Fernaldi Gideon (pemain beregu Indonesia). Hari ini (semalam) pun mereka diberi tentangan sengit oleh Korea.
"Jadi semua ada peluang dan bergantung pada prestasi pemain sendiri," kata Zii Jia.
Sementara itu untuk dua lagi perlawanan suku akhir membabitkan perlawanan Indonesia menentang China manakala Taiwan berdepan Jepun.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... uh-benam-india-pula |
|
|
|
|
|
|
| |
|