|
Edited by JoyahMengayah at 14-5-2022 02:48 PM
Kuala Lumpur: Usahawan sensasi Datuk Seri Vida dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semalam bagi membantu siasatan video muzik (MV) raya yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.
Vida dalam satu hantaran di media sosial berkata, dia menuruti segala arahan SKMM selepas terdapat pihak yang melaporkan mengenai MV terbabit kepada pihak berkuasa.
"Saya tak tahulah nak cakap macam mana sebenarnya. Untuk MV lagu Muah Muah Raya itu, saya sebenarnya tak adalah promosi sangat selepas Datuk Aliff Syukri dipanggil SKMM sebelum ini.
"Tapi, untuk pengetahuan, saya dah buat benda ini sebelum Aliff Syukri lagi tapi tetap kena panggil, maka saya kena pergilah untuk diambil keterangan berhubung lagu Muah Muah Raya.
"Saya ini pun sedang dalam keadaan tak sihat. Sakit kepala tapi saya turuti arahan SKMM itu. Saya cuma fikir, apa yang saya buat itu sebagai hiburan saja, tiada apa-apa," katanya dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Instagram, kelmarin.
Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Vida untuk mendapatkan butiran terperinci mengenai kehadirannya di SKMM tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.
Terdahulu, Vida dihimpit kontroversi apabila dia tampil dengan MV raya yang dianggap tidak sesuai dengan sambutan Aidilfitri.
MV terbabit memaparkan kumpulan penari 'drag queen' sekali gus menyebabkan Vida terpalit dengan isu cuba mempromosi elemen LGBT.
Malah, ia juga mengheret Vida kepada isu cuba mencemarkan kesucian agama Islam menerusi penghasilan MV terbabit.
Sebelum ini usahawan Aliff Syukri turut dipanggil SKMM untuk memberi keterangan selepas lagu dan MV raya berjudul Kelepok Raya menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.
Disiarkan pada: Mei 13, 2022 @ 1:56pm
|
|