|
CLEMENT menghadiahkan emas ke-10 buat kontinjen negara selepas muncul juara bagi acara changquan lelaki semalam.
MESKIPUN tidak meletakkan sebarang sasaran kilauan pingat emas pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021, namun skuad wushu negara membuktikan persiapan yang dilakukan mereka benar-benar sempurna apabila menghadiahkan dua butir pingat emas semalam.
Meskipun membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan tersebut, atlet wushu negara, Clement Ting Su Wei mengakui dia berpuas hati selepas mampu menyumbang emas ke-10 buat kontinjen Malaysia di Gimnasium Cau Giay.
Clement mengakui persembahan yang sempurna membolehkannya mengutip mata tertinggi dengan catatan 9.70 mata sekali gus dinobatkan sebagai juara dalam acara changquan lelaki.
Lebih manis, kejayaan Clement diteruskan rakan sepasukannya, Tan Zhi Yan yang menyumbang emas kedua negara dalam acara taijiquan lelaki selepas mempamerkan persembahan solid dengan keputusan 9.71 mata
“Saya mengakui sangat terkejut kerana berjaya menyumbang emas ke-10 negara. Kejayaan ini satu bonus dalam karier saya terutama pada penampilan sulung di Sukan SEA.
“Pada saingan itu, saya tidak gugup dan hanya beraksi seperti rutin dalam latihan tanpa sebarang kesilapan. Saya sangat gembira, ini adalah kejayaan terbaik dalam tempoh 17 tahun karier saya,” katanya Clement.
Clement, bagaimanapun mendedahkan bahawa perjalanannnya ke Hanoi penuh dengan cabaran selepas dijangkiti Covid-19 bulan lalu sekali gus menjejaskan persiapannya untuk ke temasya Sukan SEA Vietnam.
“Bulan lalu saya dijangkiti Covid-19 dan tidak dapat meneruskan latihan dengan sempurna sebagai persiapan menuju ke Hanoi.
“Saya hanya boleh melakukan latihan ringan sepanjang tempoh kuarantin dan bimbang tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan menghadapi Sukan SEA. Apapun, segalanya berjalan dengan lancar,” tambahnya.
Clement seterusnya akan bertanding dalam acara daoshu (hari ini) dan gunshu (esok).
https://www.kosmo.com.my/2022/05 ... -dua-emas-di-hanoi/ |
|