Bukit Kayu Hitam: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 49 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, pagi tadi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua Pati itu ditahan ketika merentasi sempadan di kawasan ladang getah sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
"Kira-kira 9.30 pagi Tim Serang dan Tangkap (Serkap) melihat sekumpulan orang awam yang dalam keadaan mencurigakan berjalan kaki merentas sempadan negara.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warga Myanmar tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Menurut kenyataan itu, kesemua mereka berusia antara 15 hingga 48 tahun yang terdiri daripada 37 lelaki dan 12 wanita ditahan untuk tindakan lanjut.
Katanya, turut dirampas 37 telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar, selain dua beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM15,878.
Kesemua Pati diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.