SUKA untuk mengimbas kembali artikel yang pernah saya tulis pada tahun 2019 bagi memberi tasawur ringkas suasana umat Islam di Rusia dan polisinya terhadap Dunia Islam di era Presiden Vladimir Putin.
Pendedahan ini penting untuk menilai suasana semasa khususnya dalam keadaan media Barat yang bersifat double standard dalam melaporkan perang antara Rusia dan Ukraine yang sudah memasuki bulan ketiga.
Sebelum diulas dasar pandang ke Dunia Islam oleh Presiden Rusia Vladimir Putin, perlu diberikan gambaran terlebih dahulu suasana umat Islam di Rusia dan sejarah ringkas mengenai hubungan Rusia dengan Dunia Islam.
Islam di Rusia
Pada tahun 1996, Mufti Rusia, Rawi Ainuddin membuat permohonan kepada Presiden Boris Yeltsin untuk mengadakan sambutan 1,400 tahun kedatangan Islam ke Rusia. Akan tetapi ianya tidak dapat dilaksanakan kerana sebab-sebab yang tertentu.
Namun begitu ianya berjaya disambut beberapa tahun kemudian ketika pemerintahan Presiden Vladimir Putin.
Dalam masa yang sama pada tahun 2000, penganut agama Kristian Orthodox menyambut 1,000 tahun kemasukan agama Kristian ke Rusia.
Ini menunjukkan kedatangan Islam ke Rusia 400 tahun lebih awal sebelum kedatangan Kristian.
Hubungan Dunia Islam dengan kaum dan penduduk yang mewakili masyarakat di Rusia pada hari ini berlaku seawal kurun pertama Hijrah apabila wilayah Azerbaijan dan Armenia berjaya dibuka oleh umat Islam di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab.
Dalam masa yang sama penyebaran Islam juga berlaku melalui jalan perdagangan yang mana sebahagian daripada wilayah-wilayah Rusia berada dalam Laluan Sutera yang menghubungkan peniaga-peniaga Islam antara Barat dan Timur.
Mereka memeluk Islam kerana melihat akhlak dan teladan baik yang ditunjukkan oleh peniaga-peniaga Islam pada ketika itu.
Pengaruh gerakan Sufi juga memainkan peranan dalam penyebaran agama Islam di Rusia khususnya di wilayah selatan seperti Dagestan.
Kerajaan Islam pertama yang bertapak di Rusia ialah Volga Bulgaria yang memerintah di antara pertengahan kurun 1 hingga ke-6 Hijrah atau kurun ke-7 hingga 13 Masehi.
Kerajaan Volga Bulgaria bertapak di antara dua sungai terpanjang di Rusia iaitu Sungai Volga dan Sungai Kama dan penduduknya terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa antaranya Turkic Bulgar, Finnic, Ugrian dan Slavic.
Walaupun Kerajaan Islam Volga Bulgaria hanya berkuasa selama lebih 500 tahun namun penduduknya tetap berpegang kepada ajaran Islam.
Republik Tatarstan hari ini, iaitu wilayah separuh autonomi yang berada di bawah Rusia adalah kelangsungan daripada Kerajaan Islam Volga Bulgaria di mana Tatarstan boleh dinisbahkan sebagai sebuah Republik Islam di mana 55 peratus penduduknya beragama Islam dan bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Malah di Tatarstan, terdapat satu-satunya universiti Islam di Rusia iaitu Russian Islamic University atau dikenali sebagai Rossiyskiy Islamic Institute yang diasaskan pada tahun 1988 di Kazan, ibu negeri Tatarstan.
Di universiti tersebut terdapat lebih 70 fakulti dan hampir 800 orang pelajar.
Hubungan Rusia dan Dunia Islam melalui pasang dan surut di sepanjang sejarahnya. Setelah Islam bertapak di Rusia, kebanyakan pemerintah Rusia bersikap keras namun ada juga yang bersikap lembut dan memberikan layanan yang baik ke atas umat Islam.
Sebagai contoh Putera Vladimir yang memerintah Rusia antara 960M-1015M, seorang yang minat mengkaji agama-agama samawi dan pernah menghantar utusan kepada pemerintah Islam di Volga Bulgaria memintanya untuk menghantar guru-guru agama Islam kerana dia berminat untuk mendalaminya, namun akhirnya beliau memeluk Kristian Orthodox.
Ada ahli sejarah menyatakan beliau hampir-hampir menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi bagi Rusia pada ketika itu.
Umat Islam di Rusia melalui zaman getir penuh kekejaman terutamanya ketika pemerintahan dua Tsar iaitu zaman Ivan The Terrible, Tsar Pertama Rusia dan Catherine The Great. Di zaman kedua-dua Tsar ini, umat Islam ditindas serta dizalimi, masjid diroboh dan dibakar.
Ketika zaman ini, gadis-gadis Islam dilacurkan serta dijual untuk dijadikan hamba atau pelacur. Anak-anak muda Islam dihantar ke medan perang paling dahsyat dan ramai yang terkorban.
Boleh dikatakan di zaman kedua-dua Tsar ini, umat Islam dizalimi dan ditekan dalam keadaan yang sistematik.
Hari ini Islam adalah agama kedua terbesar di Rusia dengan anggaran jumlah penganutnya sebanyak 14.5 juta orang iaitu hampir 10 peratus peratus jumlah penduduknya yang berjumlah 145.87 juta orang dan Islam juga diiktiraf sebagai salah satu agama tradisi Rusia.
Kebanyakan umat Islam menghuni di enam wilayah yang mempunyai majoriti penduduknya penganut Islam iaitu wilayah Dagestan, Chechnya, Ingushetia, Tatarstan, Kabardino-Balkaria dan Karachay-Cherkessia.
Daripada penjelasan di atas boleh disimpulkan bahawa umat Islam sudah menjadi darah daging dan diterima sebagai sebahagian dari masyarakat Rusia yang mempunyai pelbagai kaum, etnik dan penganut agama khususnya Kristian dan Islam, justeru tidak pelik jika diteliti fenomena Islamofobia yang berlaku di Barat tidak berlaku di Rusia jika dihubung kait dengan faktor-faktor di atas.
Berbeza keadaannya di negara-negara Barat sama ada di Amerika Utara dan juga Eropah kerana kewujudan umat Islam di sana adalah kerana penghijrahan orang-orang Islam dari luar disebabkan pelbagai faktor seperti peperangan dan krisis ekonomi di negara asal atau untuk mendapat suaka politik.
Ianya berbeza keadaannya di Rusia kerana orang-orang Islam di sana adalah penduduk asal dan merupakan sebahagian daripada masyarakat Rusia.
Tidak dinafikan berlakunya penindasan terhadap umat Islam sejak zaman Tsar yang memerintah Rusia sehinggalah di zaman komunis Soviet Union yang memerangi keseluruhan agama khususnya Islam. Namun terdapat juga masa dan ketika umat Islam dilayan dengan baik dan saksama.
Islam di zaman Soviet Union
Setelah jatuhnya rejim Tsar dan terbentuknya Soviet Union yang meletakkan komunisme sebagai dasar pemerintahan, Islam menjadi sasaran utama kerana bercanggah dengan dasar negara yang memerangi sebarang bentuk ajaran agama khususnya Islam.
Soviet Union yang berpaksikan komunisme ketika itu mengamalkan Atheism, iaitu tidak berpegang kepada ajaran agama serta menolak sebarang pegangan terhadap mana-mana agama terutamanya Islam.
Bolsheviks, iaitu kumpulan yang diterajui Vladimir Lenin dan Alexander Bogdanov menjadi pengasas kepada Republik Komunis Soviet Union.
Dalam usaha untuk menguatkan serta meluaskan Soviet Union, mereka sedaya upaya cuba untuk memasukkan kembali wilayah-wilayah yang pernah berada di bawah Empayar Tsar Rusia dahulu termasuk Azerbaijan, Kazakhstan, Turkmenistan, Tajikistan, Uzbekistan dan Kirghizia yang mana kesemua wilayah ini adalah wilayah Islam.
Usaha ini mendapat tentangan hebat daripada wilayah-wilayah tersebut kerana amalam komunisme namun akhirnya terpaksa tunduk dan berada di bawah Soviet Union.
Dalam tempoh ini umat Islam di wilayah-wilayah tersebut ditindas dan dipaksa supaya meninggalkan agama mereka, masjid-masjid diubah menjadi kandang binatang dan kelab malam, dalam masa yang sama umat Islam dipaksa meninggalkan solat dan ibadah puasa.
Masjid yang ketika itu berjumlah hampir 25,000 buah pada tahun 1917, hanya tinggal lebih kurang 500 pada pertengahan 1970-an.
Soviet Union ketika itu menghadkan aktiviti agama ke atas wilayah-wilayah tersebut yang bersesuaian dengan konsep komunisme Soviet Union yang berteraskan prinsip atheism terhadap sebarang agama.
Tekanan ke atas umat Islam berakhir setelah kehancuran Soviet Union sejurus kekalahannya di Afghanistan pada tahun 1989. Banyak masjid dibuka semula selepas kejatuhan Soviet Union dan umat Islam dibenarkan menunaikan haji dan umrah kembali.
Pusat Kebudayaan dan Kesenian Islam telah dibuka di Moscow serta ditubuhkan Kesatuan Muslim Rusia yang diterajui oleh Imam Khatyb Mukaddas dari Tatarstan dengan tujuan utamanya untuk merapatkan jurang agama dan membetulkan salah faham terhadap umat Islam di Rusia.
Banyak kemajuan dan kemakmuran telah dikecapi oleh umat Islam di Rusia setelah kejatuhan Soviet Union. Malah di Chechnya. Undang-undang syariah telah diberikan kebenaran untuk diimplemantasikan oleh Rusia.
Namun sejak kebelakangan ini, Islam telah berkembang di bawah pemerintahan Vladimir Putin. Malah, boleh dikatakan umat Islam di Rusia hari ini telah terhindar sikap Islamofobia sebagaimana dunia barat lain kerana keterbukaan Rusia terhadap Islam malah Vladimir Putin pernah mengungkap, Islam adalah sebahagian daripada Rusia dan Islam adalah hampir sama dengan Kristian Ortodoks yang jauh berlainan daripada Katholik.
Vladimir Putin
Vladmir Putin ialah Presiden Rusia yang keempat serta pernah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Rusia. Anak seorang tukang masak kepada pengasas Bolsheviks dan bapa Soviet Union Vladimir Lenin, beliau asalnya adalah seorang perisik KGB dan meletakkan jawatan ketika berpangkat Leftenan Kolonel pada hari kedua cubaan rampasan kuasa terhadap Presiden Soviet Union yang terakhir Mikhail Gorbachev sebelum menceburi bidang politik.
Kerjaya politik Putin bemula sebagai penasihat hubungan antarabangsa di Pejabat Datuk Bandar Leningrad, sebelum memegang beberapa jawatan penting di Saint Petersburg dan Moscow.
Presiden Rusia yang pertama Boris Yeltsin melantik Putin memegang jawatan penting dalam pejabat Presiden sebelum diangkat memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri seterusnya menjawat jawatan Perdana Menteri Rusia pada 16 Ogos 1999.
Vladimir Putin menjadi Presiden Rusia pada 7 Mei 2000 setelah memenangi Pilihan Raya Presiden dengan undian sebanyak 53 peratus.
Beliau juga memenangi Pilihan Raya Presiden untuk kali kedua pada 2004 dengan jumlah undian yang lebih besar iaitu sebanyak 73 peratus. Disebabkan undang-undang Rusia hanya membenarkan Presiden memegang tampuk kuasa sebanyak dua penggal, maka pada pilihan raya 2008, Putin kembali semula menjadi Perdana Menteri sebelum menjawat kembali jawatan Presiden pada pilihan raya tahun 2012 dengan undian sebanyak 63.3 peratus.
Putin telah mencorakkan geopolitik baru dunia setelah Amerika Syarikat sekian lama berkuasa dalam arena geopolitik antarabangsa. Semenjak Donald Trump memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat, negaar itu mula kelihatan lemah di arena geopolitik antarabangsa dan sudah mula hilang pengaruh terutamanya di Eropah, Asia dan Dunia Islam.
Paling ketara, banyak negara Dunia Islam sudah mula berbaik-baik dengan Rusia malah Rusia sudah mula memainkan peranan penting di Asia Barat dan berjaya menolak keluar Amerika Syarikat yang telah sekian lama mendominasi rantau tersebut.
Jika dilihat senario geopolitik antarabangsa saat ini, Rusia sudah mula kelihatan di mana sahaja Amerika Syarikat berada untuk mengambil alih atau melenyapkan monopoli Amerika Syarikat yang selama ini diketahui berat sebelah dan hanya mementingkan keuntungan bagi pihak mereka sahaja.
Malah strategi Putin untuk memecahkan kekuasaan dan monopoli Amerika Syarikat telah menampakkan hasil apabila Amerika Syarikat sudah mula kehilangan pengaruh di Asia Barat dengan pengunduran mereka di sempadan Syria dan Turki.
Sikap berbaik-baik dengan Dunia Islam membuatkan banyak negara Islam mendekatkan diri dengan Putin dan Rusia.
Sikap Putin dan Rusia yang tidak memusuhi Islam serta tidak mengamalkan Islamofobia membuatkan banyak negara dari kalangan Dunia Islam mula menjauhi Amerika Syarikat dan beralih kepada Rusia.
Ramai penganalisa geopolitik dunia berpendapat, sedikit masa lagi Rusia mampu melonjakkan diri sebagai kuasa baru dunia dan berjaya mengekang Amerika Syarikat serta hegamoninya ke atas dunia.
Konflik Rusia-Ukraine saat ini secara jelas telah memaparkan hubungan akrab antara Rusia dengan negara Dunia Islam.
Baik Arab Saudi, UAE, Turki dan beberapa lagi negara Dunia Islam seperti tidak mengendahkan amaran Amerika Syarikat dan Barat supaya tidak menyebelahi Rusia dalam konflik ini.
Walaupun tidak menyokong Rusia secara terang-terangan tetapi tindak tanduk negara-negara Dunia Islam tersebut jelas bersama Rusia.
Secara amnya, tiada satupun negara Dunia Islam secara jelas dan terang mengecam tindakan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine dan mengenakan sekatan ekonomi sebagaimana yang dilakukan oleh Barat, sebaliknya bersikap dingin terhadap amaran Amerika Syarikat dan Barat.
Malah ketika ini negara-negara Dunia Islam telah mula kelihatan berusaha untuk memulihkan hubungan sesama mereka termasuk mula menggemblengkan usaha untuk kembali memperjuangkan isu Palestin yang telah dipinggirkan sekian lama.
Secara relatifnya, Dunia Islam sebenarnya sudah muak dengan sikap bermuka-muka dan double standard yang diamalkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dari Barat.
Sebagai contoh isu Palestin dan Ukraine di mana Barat sambil lewa dan seolah-seolah langsung tidak mempedulikan apa yang berlaku di Palestin tetapi apabila berlakunya konflik Rusia-Ukraine, “sepantas kilat“ Amerika Syarikat dan sekutunya dari Barat bertindak dengan memberikan segala bentuk bantuan dan mengenakan sekatan ekonomi berskala besar terhadap Rusia termasuk secara tergesa-gesa mengheret Rusia ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan jenayah perang.
Tidak seperti Palestin yang diugut dan tidak diperdulikan apabila cuba mengheret rejim zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas perlakuan jenayah perang yang telah berlaku lebih daripada 70 tahun.
Namun Dunia Islam masih lagi perlu berhati-hati terhadap mana-mana kuasa dunia kerana apa yang telah berlaku terutamanya Islamofobia dan ketidakadilan terhadap Dunia Islam.
Walau siapapun berkuasa, Dunia Islam harus melihat jauh kedepan agar tidak lagi tertipu dan terpedaya sebagaimana yang berlaku sebelum ini kerana ia langsung tidak menguntung Islam dan umatnya sebaliknya hanya menyebabkan kecelaruan dan melemahkan umat serta Dunia Islam secara keseluruhan.
Sebelum mengambil sikap menyokong atau menyebelahi mana-mana kuasa dunia, Dunia Islam wajar mempersiapkan serta memperbaiki negara masing-masing terutamanya sesama Dunia Islam kerana kekuatan Dunia Islam sebenarnya terletak kepada keutuhan dan kesatuan sesama Dunia Islam.
Jika Dunia Islam kuat dan saling bantu membantu nescaya Dunia Islam tidak perlu menyokong atau menyebelahi mana-mana kuasa besar dunia.
Dunia Islam mampu mencipta sejarahnya sendiri dan bangkit dari kekusutan dan kegelapan.
Semoga Allah SWT memberkati, merahmati dan melindungi Dunia Islam.
YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 14/5/2022