|
ZHI Yan (kiri) dan Clement Ting bersama pingat emas mereka. FOTO Eizairi Shamsudin
Kuala Lumpur: Prestasi atlet muda wushu negara di temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam dilihat semakin meningkat dengan barisan kejurulatihan perlu melakukan banyak 'kerja rumah' bagi memastikan kejayaan positif dapat dicipta pada masa akan datang.
Pasukan negara menutup acara wushu di temasya dwi tahunan itu dengan meraih pencapaian membanggakan apabila membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa.
Acara yang berlangsung di Gimnasium Cau Giay itu menyaksikan peserta negara, Clement Ting dan Tan Zhi Yan masing-masing berjaya menyumbang emas dalam acara changquan serta taijiquan.
Clement Ting turut menyumbang pingat perak untuk negara dalam acara nandao lelaki manakala Yeap Wai Kin beraksi dalam acara daoshu-gunshu lelaki dan Sydney Chin (taijiquan wanita) masing-masing meraih gangsa.
Ketua jurulatih wushu negara, Lim Yew Fai berkata, walaupun peserta negara mempamerkan aksi mantap namun banyak perkara yang diperbaiki untuk tampil lebih menyakinkan pada kejohanan akan datang.
"Clement Ting mempamerkan kesungguhan ketika beraksi dalam acara changquan sekali gus sangat berpuas hati dia menyumbang emas untuk negara.
"Berdasarkan rekod terdahulu, lebih 10 tahun Malaysia tidak memenangi emas dalam acara changquan kerana dilihat cukup sukar untuk mengungguli tempat pertama.
"Selain itu, Zhi Yan juga harus diberikan pujian kerana penampilan pertamanya di Sukan Sea berjaya menghadiahkan negara pingat emas sekali gus meneruskan kejayaan jurulatihnya (Loh Choon How) turut memperoleh tempat pertama pada Sukan Sea 2019," katanya.
Selain itu, beliau berkata, barisan atlet muda akan diberikan lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan keyakinan dan prestasi mereka selepas berehat hampir dua tahun berikutan pandemik Covid-19.
"Secara keseluruhan, saya rasa kami masih boleh melakukan lebih baik cuma masalah yang dihadapi adalah kerana kebanyakan atlet wushu sudah lama tidak menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa," katanya.
Namun, kemungkinan hasrat Malaysia untuk mempertahankan emas pada kejohanan Sukan Sea di Kemboja tahun depan terpaksa dilupakan apabila terdapat desas-desus yang mengatakan acara terbabit kemungkinan akan digugurkan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... an-kem-wushu-negara |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|