Seorang wanita di Sudan menggunakan kaedah unik dalam mencari calon suami.
Gulf News melaporkan wanita terbabit membawa satu plakad dan mengelilingi ibu negara berkenaan menyatakan hajatnya mencari calon teman hidup.
Satu gambar tular menunjukkan wanita berkenaan berdiri di sebuah lampu isyarat sambil memegang plakad.
Seorang wanita Sudan mencari calon suami menggunakan plakad. FOTO Agensi
"Saya mahukan pengantin lelaki. Saya hendak kahwin. Saya terima poligami," katanya yang turut meletakkan nombor telefon pada plakad berkenaan.
Tindakan wanita itu menjadi bualan ramai selepas gambarnya itu tular di media sosial.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sudan melaporkan penurunan ketara dalam kadar perkahwinan dan peningkatan bilangan perceraian.
Pada 2020, kadar perkahwinan menurun sebanyak 21 peratus berbanding 2018.
Negara itu menyaksikan 142,949 perkahwinan pada 2020 berbanding 180,563 pada 2018.
Menurut pakar, penurunan besar itu disebabkan banyak faktor termasuk keadaan ekonomi yang buruk di Sudan dan kesan Covid-19.
Sumber: Harian Metro |