|
Seorang wanita nekad mengubah penampilan dirinya seperti lelaki selama 36 tahun demi memastikan anak perempuan tunggalnya membesar dengan selamat.
Menurut laporan New Indian Express, perubahan Petchiammal, 57, bertitik tolak selepas suaminya, Siva, meninggal dunia hanya 15 hari selepas mereka berkahwin.
Petchiammal yang berusia 20 tahun ketika itu kemudian melahirkan seorang anak perempuan, Shanmugasundari.
Kredit foto: TNIE
Sejak kematian suami, dia membanting tulang untuk menyara dan membesarkan anak tunggalnya.
Dia pernah bekerja di tapak pembinaan, hotel dan kedai teh, namun kerap mengalami gangguan di tempat kerja yang didominasi kaum lelaki.
Sekian lama berdepan dengan diskriminasi dan gangguan seksual, Petchiammal mengambil keputusan untuk bertukar menjadi 'lelaki'.
Bukan sekadar penampilan, malah Petchiammal menukar namanya dan mahu dikenali sebagai Muthu.
"Hanya saudara terdekat dan anak perempuan saya tahu bahawa saya seorang wanita," katanya yang menetap di Kattunayakkanpatti, Tamil Nadu, India.
Anak tunggal Petchiammal iaitu Shanmugasundari kini sudah berumah tangga, malah keadaan ekonomi keluarga mereka juga semakin stabil.
Sungguhpun begitu Petchiammal berkata dia belum bersedia untuk menukar kembali identitinya kepada seorang wanita.
Ujar wanita tersebut, dia mahu mengekalkan identitinya sebagai 'Muthu' selama-lamanya.
Sumber: mStar |
|