|
PASUKAN acara rentas desa Olimpik berganti-ganti campuran meraih pingat emas. FOTO Fiz Said
Hanoi: Pasukan berbasikal bukit (MTB) boleh melabuhkan tirai penampilan mereka di Sukan Sea Vietnam 2021 dengan senyuman dan kini tumpuan mereka adalah ke arah program untuk edisi seterusnya di Kemboja, tahun depan.
Dengan meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa, pasukan yang beraksi di atas tiket Kategori B di Hanoi itu, kini sudah bersiap sedia untuk memasuki fasa program persiapan yang dipanggil 'Road to Cambodia'.
"Apabila kembali ke Malaysia, kami akan teruskan perancangan asal iaitu 'Road to Cambodia' 2023.
"Kami akan membuat persiapan yang lebih baik seperti mana dilakukan Indonesia," kata pengurus pasukan, Firdaus Arshad.
Pasukan berbasikal bukit melakar kejutan di Wilayah Hoa Binh dalam acara rentas desa Olimpik berganti-ganti campuran dengan meraih emas menerusi Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon.
Mereka menamatkan saingan dengan catatan masa 1 jam, 23 minit dan 14 saat untuk meraih emas manakala perak dimenangi skuad Vietnam dengan catatan 1:23.48s. Gangsa dimenangi Thailand, 1:24.54s.
Perak bagi pasukan MTB dihadiahkan Assyira dalam acara MTB rentas desa Olimpik wanita manakala rakan seperjuangan, Natahsya turut berada di pentas podium di tempat ketiga acara sama.
"Saya harap dengan prestasi luar jangka ini, ia dapat membuka lembaran baharu untuk KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) melihat kami terutama daripada sudut pembangunan sukan MTB.
"Sukan MTB ini boleh menyumbang pingat buat negara pada edisi di Kemboja yang tidak sampai setahun lagi," kata Firdaus yang turut mengharapkan pasukan berbasikal lebuh raya dapat menuai kilauan pingat apabila saingan membuka tirainya esok.
Untuk rekod, pada edisi 2011 di Indonesia, atlet wanita Masziyaton Mohd Radzi menghadiahkan perak menerusi acara rentas desa sekali gus memperbaiki pencapaiannya pada edisi 2009 di Laos apabila membawa pulang gangsa.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... an-sea-kemboja-2023 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|