|
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya ditemukan mati dalam sebuah rumah di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 10.17 pagi berhubung kejadian seorang wanita tempatan berumur 71 tahun tidak sedarkan diri dan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dalam keadaan tergantung di rumah terbabit.
"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Tiada sebarang kesan umpil dan pecah masuk.
"Barangan peribadi milik kedua-dua mangsa seperti wang tunai dan telefon bimbit, berada di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Selain itu, beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua mayat juga tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.
Katanya, pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut hadir di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sungai Buloh, untuk bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat lengkap diperoleh," katanya.
Zainal Mohamed berkata, sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Balai Polis Kundang, Sarjan Mejar Wan Azhar Wan Ariffin, melalui talian 03-60341222 atau 019-9997233. – BERNAMA
|
|