Minggu lalu, tular di TikTok seorang pempengaruh dikenali sebagai Puteri Sari mengamuk hingga mencampakkan sejumlah wang di hadapan 'founder' produk, Siti Jamumall kerana duit yang diterima sebagai bayaran 'review' itu didakwa palsu.
Memuat naik rakaman adegan 'campak- mencampak' wang yang berlaku antara Sari dan Siti, netizen menuduh kejadian berkenaan hanyalah salah satu teknik pemasaran yang sudah kerap disajikan oleh 'influencer' mahupun 'founder' sebelum ini.
Selepas seminggu, segala persoalan akhirnya terlerai. Seperti yang tekaan netizen, Sari menerusi potongan video ketika gadis itu membuat siaran langsung di aplikasi berkenaan, dia mengakui insiden pergaduhan itu sudah dirancang.
Menerusi akaun TikTok @dayahae_, Sari memaklumkan masalah lain mulai timbul apabila video berkenaan mulai mendapat perhatian ramai. Pihak Siti seolah-olah memanjang isu berkenaan sedangkan perjanjian asal bukanlah seperti itu.
"Awal-awal okay semua. Saya tahu nama akan dikeji tapi benda ini tiga hari sahaja sebab saya banyak kerja. Kalau isu ini panjang dan tidak berbaik-baik elok, saya akan beritahu umum ini marketing. Tapi tak, mereka masih nak panjangkan...," kata Sari sebelum rakaman itu berakhir.
Walaupun gadis berkenaan sekali lagi tampil bagi menjelaskan situasi sebenar, rata-rata ramai netizen yang merasakan dia tidak perlu berbuat sedemikian kerana sejak awal lagi mereka sudah dapat menghidu pergaduhan itu hanyalah sekadar 'marketing' semata-mata. -CARI
|