CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 499|Reply: 0

[Politik] Nilai tanah lebih rendah dari kerja dilakukan - Saksi

[Copy link]
Post time 27-5-2022 05:50 PM | Show all posts |Read mode
Nilai tanah lebih rendah dari kerja dilakukan - Saksi


LIM Guan Eng. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa nilai dua bidang tanah lot yang diberi milik kepada syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) oleh kerajaan Pulau Pinang, adalah jauh lebih rendah berbanding nilai kerja dilakukan syarikat tersebut berkaitan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu.

Perkara itu dipersetujui dua pegawai penilaian dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Georgetown, Pulau Pinang semasa disoal balas peguam Datuk Gobind Singh Deo dan Haijan Omar, yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, pada perbicaraan atas empat pertuduhan membabitkan projek pembinaan tersebut.

Saksi pendakwaan ke-25, Zakariya Nayan, 55, bersetuju dengan cadangan Haijan bahawa Lot 702 di Bandar Tanjung Pinang yang dinilai dengan harga RM50 juta, adalah jauh lebih rendah berbanding kos kerja yang dilakukan oleh CZBUCG yang dianggarkan pada RM138 juta.

Saksi pendakwaan ke-26, Nurul Asshima Aminullah, 33, turut bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa nilai Plot A, Lot 713 di lokasi sama yang dinilai dengan harga RM30 juta adalah rendah berbanding RM73 juta yang dibelanjakan untuk kos kerja oleh syarikat itu.

Kedua-dua saksi itu bagaimanapun bersetuju bahawa berdasarkan penilaian berkenaan, kerajaan negeri Pulau Pinang mendapat manfaat yang besar dan tidak mengalami sebarang kerugian melalui pemberimilikan tanah berkenaan.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada pemeriksaan semula, mereka mengakui tidak mengetahui apakah bentuk kerja yang dilaksanakan oleh syarikat itu.

Zakariya ketika membacakan pernyataan saksinya berkata sekitar penghujung bulan Disember 2014, beliau telah menerima fail mengandungi dokumen berkaitan tanah Lot 702 dan surat permohonan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, untuk mendapatkan nilai tanah untuk dipindah milik kepada syarikat Ewein Zenith BUCG Sdn Bhd.

"Hasil penelitian dan penilaian yang saya jalankan bagi Lot 702 yang berkeluasan 14,863 meter persegi bagi pegangan kekal adalah RM3,360 semeter persegi dan nilai pasaran setelah digenapkan menjadi RM50 juta pada Disember 2014," katanya.

Ewein Zenith BUCG Sdn Bhd berkata syarikat usahasama antara CZBUCG dan Ewein Zenith Sdn Bhd untuk membangunkan lot tanah berkenaan bagi sebuah projek mega yang dikenali sebagai City of Dreams.

Pada perbicaraan sebelum ini, bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata Guan Eng telah meluluskan pemberimilikan Lot 702 kepada syarikat CZBUCG dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang pada 11 Disember 2014.

Sementara itu, Nurul Asshima juga melakukan penilaian sama bagi tanah Plot A, Lot 713 yang berkeluasan 8,093 meter persegi bagi pegangan kekal adalah RM3,700 semeter persegi dan nilai pasaran setelah digenapkan menjadi RM30 juta pada November 2016.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, iaitu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 7 Jun ini.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rja-dilakukan-saksi

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-11-2024 02:44 AM GMT+8 , Processed in 0.038810 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list