KEPALA BATAS: Wanita UMNO Pulau Pinang berhasrat bertanding lebih banyak kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata mengikut rekod PRU-14, hanya satu kerusi DUN sahaja diberikan kepada calon wanita untuk ditandingi.
Beliau turut mendedahkan pergerakan itu sering diberikan kerusi 'bermasalah' sedangkan sudah mengenal pasti kerusi boleh menang.
Berikutan itu, beliau berharap dapat dibukakan peluang dan ruang supaya wanita UMNO negeri itu bertanding lebih banyak kerusi pada PRU-15 berikutan kemampuan yang dimiliki.
"Kita harap sangat pucuk pimpinan parti dapat melihat dengan memberikan peluang dan ruang seluas-luasnya untuk wanita bertanding di kerusi DUN serta Parlimen.
"Ini kerana, wanita telah membuktikan keupayaan dalam pelbagai bidang, selain mempunyai sikap yang lebih amanah serta bertanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu tugas yang diberikan.
"Cuma masalahnya apabila datang pilihan raya, kerusi wanita ini sering dipertikaikan yang kita minta kali ini lebih ramai calon wanita dapat diketengahkan kerana kita sememangnya mempunyai calon-calon yang berkelayakan," katanya.
Satu-satunya kerusi dimiliki Wanita UMNO negeri adalah kerusi DUN Permatang Berangan yang disandang Nor Hafizah Othman.
Mengulas lanjut, Norliza berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk menang khususnya di Pulau Pinang jika diberi peluang bertanding pada PRU-15 nanti.
"Kita (Wanita UMNO) pun nak bertanding untuk kerusi yang kita boleh menang tapi adakalanya kita diberikan kerusi yang agak 'bermasalah'.
"Tapi, saya yakin, pimpinan parti pada kali ini telah mengakui dan melihat sendiri kebolehan wanita," katanya.
Jelasnya, beliau turut berharap supaya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dapat mempertimbangkan mana-mana kerusi sama ada di peringkat DUN atau Parlimen.
"Ini selaras dengan agenda 30 peratus yang diperjuangkan oleh Wanita UMNO sebelum ini iaitu melihat lebih ramai perwakilan wanita diberikan peluang untuk bertanding pada PRU-15 nanti," katanya.