CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 347|Reply: 0

[Pulau Pinang] Kutip 1,000 puntung rokok dalam sejam di sekitar hospital awam

[Copy link]
Post time 30-5-2022 01:24 PM | Show all posts |Read mode
Kutip 1,000 puntung rokok dalam sejam di sekitar hospital awam

Oleh Zuhainy Zulkiffli - Mei 30, 2022 @ 1:09pm  [email protected]




Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader (kiri) dan Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow (kanan) menunjukkan kira-kira 3,000 puntung rokok yang dikutip selepas dibuang perokok di sekitar Georgetown




GEORGETOWN: Sejumlah kira-kira 3,000 puntung rokok yang dibuang di merata tempat secara sewenang-wenangnya, dikutip dalam masa dalam masa sejam oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hasil tinjauan dijalankan di sekitar bandar raya ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,000 puntung yang dibuang perokok, dipungut sepanjang tempoh terbabit di kawasan parkir sebuah hospital kerajaan di sini.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, berkata puntung rokok adalah sampah yang paling biasa serta sering tidak disedari, malah ia dibuang merata-rata di jalan raya, taman, pantai dan pasu bunga.

Katanya, di Malaysia, perokok sering terlepas daripada tindakan kerana membuang sampah dan keadaan itu menguatkan lagi tabiat mereka.

"Menerusi tinjauan, CAP mendapati persimpangan lampu isyarat menjadi 'lokasi kegemaran' perokok bagi membuang puntung rokok dan hampir kesemuanya dengan penapis.

"Alasan mereka membuangnya di persimpangan lampu isyarat berikutan perokok cepat menghabiskan sedutan mereka sementara menunggu lampu bertukar hijau, selain mudah membuang puntung rokok di situ," katanya pada sidang media di Pejabat CAP Jalan Masjid Negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.

Dianggarkan sebanyak 4.5 trilion puntung rokok dibuang setiap tahun di seluruh dunia.

Mengulas lanjut Subbarow berkata, penapis rokok yang diperkenalkan pada tahun 1950-an bertujuan bagi memberi rasa selamat yang palsu kepada perokok bahawa ia lebih selamat.

Sebenarnya mereka tidak menjadikan tabiat merokok lebih selamat kerana bahan kimia berbahaya masih dihantar ke paru-paru.

Katanya, penapis rokok terdiri daripada gentian selulosa asetat plastik yang mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun bagi degradasi sepenuhnya.

"Dalam pada itu, bahan kimia toksik yang sebahagiannya terperangkap oleh serat asetat selulosa melarut resap ke dalam persekitaran dan antara bahan kimia itu ialah nikotin.

"Jumlah nikotin yang ada dalam enam puntung rokok sudah cukup bagi menyebabkan seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital dan ia tidak termasuk bahan kimia lain seperti arsenik, formaldehid, hidrokarbon aromatik polisiklik dan logam berat," katanya lagi.

Subbarow berkata, puntung rokok yang sering dibuang akan memasuki sistem saliran ke tasik atau laut dan kajian menunjukkan bahawa puntung rokok dalam sembilan liter air sudah cukup bagi membunuh kutu air serta krustasea kecil yang ada dalam air tawar atau masin.

"Malah hidupan liar juga boleh keracunan selepas tersilap memakan puntung rokok sebagai makanan.

"Walaupun perokok membuang puntung rokok ke dalam tong sampah yang betul bagi dilupuskan, ia juga akan berakhir di tapak pelupusan," katanya.

Sementara itu Mohideen berkata, sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia (WNTD), CAP mengajak orang ramai supaya menghentikan tabiat merokok yang memudaratkan dan membazir.

"CAP menggesa pihak berkuasa berkaitan bagi mendenda mereka yang membuang puntung rokok atau menghisap rokok di zon yang tidak dibenarkan, selain bekerjasama dengan majlis tempatan yang mengendalikan kamera litar tertutup (CCTV).

"Perokok boleh berhenti daripada ketagihan nikotin dengan mendaftar diri di JomQuit (https://jomquit.com/) iaitu program berhenti merokok oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-2-2025 09:26 PM GMT+8 , Processed in 0.052947 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list