|
SITI Rahmah (kiri) meneliti dokumen bersama Wan Sukairi di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. FOTO ihsan FB Wan Sukairi Wan Abdullah.
Kuala Terengganu: Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir bersyukur selepas pengorbanannya dalam sukan tempur itu mendapat penghargaan daripada kerajaan negeri apabila dianugerahkan satu lot tanah, semalam.
Siti Rahmah yang merangkul pingat perak pada temasya Sukan Sea di Hanoi, Vietnam baru-baru ini dalam kategori kelas F bekrata, anugerah itu adalah hadiah paling bernilai dalam kariernya selepas mengharumkan nama Terengganu dan negara di pentas antarabangsa.
Bekas juara dunia empat kali dan Olahragawati Kebangsaan 2016 kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, anugerah itu bukan saja bakal menambah motivasinya, malah pembakar semangat kepada pesilat pelapis untuk mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan itu suatu hari nanti.
"Ini adalah hadiah paling bermakna buat saya selepas 15 tahun bergelumang dalam sukan silat ini dengan pelbagai kejayaan diraih sehingga ke peringkat dunia.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian tanah ini, terima kasih dihulurkan kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Persatuan Silat Negeri Terengganu (Pesaka) dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung.
"Apa yang pasti hadiah bernilai tinggi ini bakal menjadi kenangan paling berharga atas pengorbanan saya selepas bersara nanti, buat atlet pelapis berjuanglah bersungguh-sungguh demi negeri dan negara," kata anak bekas legenda bola sepak Terengganu dan skuad kebangsaan Singapura, Allahyarham Mohamed Nasir Jalil itu, ketika dihubungi.
Ketika ditanya fokusnya selepas ini, atlet berusia 35 tahun itu mahu memburu kejuaraan kelima dalam Kejohanan Silat Dunia yang bakal berlangsung di Melaka, akhir bulan depan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemberian tanah itu sebagai menghargai sumbangan besarnya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, kerajaan negeri prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan atlet negeri terutama mereka yang berjaya memperagakan aksi cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kerajaan negeri sudah memberikan satu lot tanah di Setiu kepada Siti Rahmah dalam satu majlis sambutan Aidilfitri di Wisma Darul Iman yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam.
"Kita harapkan pemberian insentif itu mampu menyuntik lagi semangat bekas juara dunia itu dan atlet lain dalam mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ah-terima-lot-tanah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|