CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 923|Reply: 2

[Dunia] Lebih se-abad | Kehilangan superstar Anita Sarawak akhirnya terjawab...

 Close [Copy link]
Post time 3-6-2022 09:43 AM | Show all posts |Read mode
Edited by maklukpenggoda at 3-6-2022 09:54 AM

KUALA LUMPUR: Perginya tanpa secebis pesanan. Kehilangan penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak, 69, dari radar dunia hiburan menimbulkan 1,001 persoalan yang berlalu tanpa jawapan pasti.

Jejak Anita atau lebih mesra disapa Kak Nita dan suaminya, Mahathir Abdullah sukar dihidu, malah, tiada siapa berjaya menyelongkar kehidupan sebenar penyanyi yang popular menerusi lagu Akhirnya Kini Pasti dan Seksis itu selepas menghilangkan diri pada penghujung 2010.

Selama 12 tahun lalu pelbagai spekulasi bertebaran, malah, mula timbul cerita rekaan ditokok-tambah bagi menghangatkan tragedi 'kehilangan' anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan seniwati Allahyarham Siput Sarawak itu.

Sejauh manakah kebenaran berita perceraian, merajuk dengan stesen televisyen (TV), bertukar imej bertudung, menetap di Singapura, mendapatkan rawatan penyakit kanser di Malaysia serta pelbagai versi cerita yang tidak masuk akal?



Namun, berita mengenai Kak Nita menghubungi Shuib dan bekas editor hiburan yang juga penulis lirik dan skrip, Roslen Fadzil pada Syawal lalu terbongkar serta tular dalam media sosial.

Malah, kebanyakan portal hiburan tempatan dan antarabangsa melaporkannya hingga menjadi 'trending' di seluruh dunia.

Usaha BH memujuk Shuib berkongsi cerita mengenai rakan baiknya itu bukan mudah, namun akhirnya tidak sia-sia, walaupun banyak rahsia enggan didedahkan.

Akhirnya kini pasti, misteri kehilangan Kak Nita terjawab apabila Shuib sedia berkongsi luahan hati Kak Nita kepadanya.

Shuib berkata, dia terputus hubungan dengan Kak Nita seperti kenalan lain sejak bintang kelahiran Singapura itu menghilangkan diri.

"Namun, saya tidak pernah berputus asa menghantar ucapan hari jadi kepada Kak Nita atau Mahathir, setiap tahun dalam media sosial.

"Tetapi, tiada satu pun ucapan mendapat balasan selama ini. Sebagai rakan baik, saya tidak putus berdoa agar Allah buka pintu hati mereka menghubungi saya. Namun, akhirnya Allah kabulkan doa selepas lebih 11 tahun menanti.

"Seperti biasa tanpa mengharapkan apa-apa, saya menghantar ucapan selamat hari jadi kepada Mahathir pada Jun, tahun lalu.

"Namun, saya tak sangka, akhirnya Mahathir membalasnya," katanya secara eksklusif kepada BH Online.

Bercerita lanjut, Shuib berkata, dia terkejut apabila bangun tidur melihat wajah Mahathir terpapar pada skrin telefon bimbitnya.



"Thank you Shuib. We often talk about you, a very special person. Blessings to you and your family," tulis Mahathir. (Terima kasih Shuib. Kami selalu bercakap mengenai kamu, insan istimewa. Berkat kepada kamu dan keluarga).

Shuib berkata, Mahathir meminta nombor telefonnya selepas membalas mesej.

"Selepas memberikan nombor telefon, saya menerima panggilan pada hari sama iaitu 23 Jun, tahun lalu.

"Di hujung talian, saya mendengar suara ceria Kak Nita. Sejujurnya, saya seperti tidak percaya sehingga menitiskan air mata.

"Kami berbual panjang sambil menangis dan ketawa. Kak Nita mendedahkan puncanya merajuk dan meninggalkan Malaysia pada penghujung 2010.

"Kak Nita menyatakan apa yang terbuku di hati. Namun, biarlah ia menjadi rahsia kami," katanya.

Shuib mendedahkan, Kak Nita memberitahunya Allah tunjuk satu persatu kejadian yang berlaku dalam masa serentak sehingga membuatkannya tekad pulang ke Amerika Syarikat (AS).

"Apa yang dapat dikatakan, ada berlaku beberapa kejadian yang membuatkan Kak Nita terlalu kecewa. Allah tunjuk satu persatu dalam masa sama.

"Usah persoalkan mengenai kejadian yang berlaku. Saya tidak akan buka mulut berkongsi, ia terlalu peribadi untuk didedahkan.

"Saya menghormati permintaan Kak Nita. Apa yang pasti, itulah masa yang sesuai untuknya mengundurkan diri pada saat pulang ke AS," katanya.

Shuib berkata, dia pernah bertanya kepada Kak Nita tidakkah rindu menyanyi semula.

"Kak Nita menyatakannya bahagia dengan kehidupan hari ini. Beliau hanya menyanyi ketika memandu kereta.

"Beliau juga menegaskan sudah bersara dan meninggalkan dunia nyanyian sepenuhnya.

"Sejujurnya, Kak Nita sudah lama berhasrat mahu bersara, sejak 2000 lagi. Namun, Mahathir tidak memberi galakan kerana masih mahu melihat Kak Nita aktif di pentas 'showbiz'.

"Jadi, pemergian Kak Nita pada 2010 adalah masa yang sudah tertulis buatnya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni," katanya.

Shuib berkata, Kak Nita meluahkan kekecewaan apabila membaca gosip bukan-bukan mengenainya di laman maya.



"Kak Nita terluka apabila timbul gosip perceraian, sakit, muflis dan banyak hutang. Paling menyedihkannya, berita beliau meninggal dunia.

"Beliau juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Sudah tentu hatinya terluka apabila timbul cerita rekaan yang ditokok-tambah," katanya.

Ketika mengulas tidakkah Kak Nita mahu kembali ke Malaysia, Shuib menyatakan, Allah sahaja yang tahu.

Shuib berkata, Kak Nita sihat dan gembira dengan kehidupannya.

"Kak Nita mempunyai hobi baru, iaitu berkebun. Beliau gembira bercerita mengenai tanaman sekeliling rumah semakin membesar.

"Kini, Kak Nita ada banyak masa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri seperti memasak dan menjaga suami. Mahathir pula mulai menerokai bidang baharu apabila banyak menghasilkan filem pendek.

"Mahathir juga masih bergiat aktif dalam perniagaan hartanah.

"Kak Nita sempat menitipkan pesan agar mengingatinya dan Mahathir jika makan durian ketika menghubungi saya pada Syawal lalu untuk mengucapkan selamat hari raya.

"Secara kebetulan, saya bersama Roslen berada di Pulau Pinang. Apapun, saya bersyukur Kak Nita sihat, selamat dan bahagia dengan kehidupannya, walaupun menjauhi dunia glamor," katanya.

Shuib berkata, dia menganggap rezeki dan menjadi insan terpilih apabila Kak Nita berkongsi cerita.

"Beliau adalah seorang superstar dan bintang ternama yang akhirnya menjadi kawan baik. Saya memang meminati Kak Nita sejak kecil.

"Saya kenal Kak Nita sejak melanjutkan pengajian di London, England pada 1980-an. Saya pernah lima kali menghubungi Kak Nita di Las Vegas ketika zaman belajar untuk meminta autograf.

"Bayangkan, saya kenal Kak Nita dari zaman tiada apa-apa, tetapi beliau tetap melayan saya dengan baik.

"Kali pertama kami bertemu apabila saya menyaksikan persembahannya di Kelab Paddock, Hotel KL Hilton pada 1989 selepas pulang ke Malaysia," katanya.

Diajukan persoalan adakah Kak Nita berada di Las Vegas, Roslen enggan mengulasnya.

Artikel penuh: Berita Harian

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-6-2022 09:48 AM From the mobile phone | Show all posts
Acik kak nita ni pun age stagnant. My mother cerota dia sekolah lagi acik kak nita dah menyanyi etc and my mum is 75 yo.
Reply

Use magic Report

Post time 3-6-2022 09:55 AM | Show all posts
Bukan Isu Semasa...boleh post di bod Gosip Tempatan....bod gosip tak semestinya gosip aje....cerita² pasal artis pun blh....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-11-2024 03:06 AM GMT+8 , Processed in 0.097334 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list