Baru-baru ini, media sosial kecoh apabila seorang lelaki dikenali sebagai Neo Pawang Diraja berkongsi lakaran wajah individu yang kononnya bertanggungjawab menghantar sihir kepada Datuk Ustaz Kazim Elias (DUKE).
DUKE kemudian tampil menerusi satu hantaran di Facebook memohon agar lelaki terbabit menghentikan perkara itu sekaligus memadamkan gambar berkenaan bagi mengelakkan timbulnya tanggapan mahupun tuduhan kepada sesiapa.
Susulan daripada itu, lelaki yang mengaku sebagai pawang menerusi sebuah hantaran video di TikTok memohon maaf atas tindakan berkenaan serta mendoakan agar DUKE sentiasa sihat dan diberikan kesembuhan.
"Saya menerima respon daripada DUKE di dalam Facebook memohon agar saya menghapuskan atau memadam sosok lakaran yang saya buat dalam video yang telah tular baru-baru ini. Dengan rela hati, saya telah pun menghapus dan memadam segala video tersebut baik di Facebook mahupun di akaun TikTok saya.
"Saya memohon seribu kemaafan daripada DUKE dan saya sangat menghormati... Apa-apa pun saya tetap mendoakan DUKE," katanya.
Individu itu menjelaskan, lukisan yang dibuat itu bukan disebabkan niat peribadi mahupun niat tertentu tetapi dilakukannya untuk memenuhi permintaan ramai yang menginginkannya membuat lakaran berkenaan.
"Kepada yang mengutuk, menghina, mencaci maki dan menghukum saya sesat dan kafir... Alhamdulillah, satu rahmat buat saya. Dan apa yang saya ingin maklumkan, saya tidak akan maafkan individu tersebut baik dunia mahupun akhirat," katanya. - CARI
|