PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan Malaysia kembali menjadi negara pertanian bagi mengatasi masalah bekalan makanan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sekiranya cadangan itu dapat dilaksana, Malaysia kurang bergantung kepada negara lain.
"Tadi kita ada bincangkan mengenai kenaikan harga ayam. Perkara itu berlaku kerana negara ini mengimport 100 peratus makanan ternakan haiwan berkenaan.
"Disebabkan itu, ketika berlakunya masalah rantaian makanan ini di peringkat global, Malaysia berhadapan dengan masalah makanan ternakan yang meningkat berlipat kali ganda.
"Antara solusi yang dibincangkan ialah mampukah negara ini keluarkan bahan makanan ternakan sendiri dan tidak bergantung 100 peratus dari luar negara. Kita berpendapat wajar untuk kerajaan meneliti dasar import bahan ternakan, dan negara ini berusaha supaya sebahagiannya dapat kita tampung dan tidak bergantung pada negara luar semata-mata," katanya selepas mempengerusikan MPN, hari ini.
Muhyiddin berkata, Malaysia perlu lebih agresif untuk meneroka teknologi moden, bahan keperluan negara dan bahan yang diimport.
"Umpama sektor tanaman sayur-sayuran, kelapa dan sebagainya, sebahagiannya masih diimport. Seperti kelapa, untuk santan hampir 500 juta biji kita import, sedangkan ada kawasan tanaman kelapa. Ia hanya perlu diusahakan dan dimajukan semula kerana permintaannya meningkat kini.
"Kalau dasar ini dapat dilakukan lebih agresif dan selari dengan dasar jaminan keselamatan makanan, saya fikir kita boleh maju dalam sektor industri makanan dan pertanian," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Global Food Security Index pada tahun 2021, naik sembilan anak tangga
berbanding tahun sebelumnya dengan bekalan lapan komoditi utama yang stabil.
"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga menjalankan tindakan intervensi yang berorientasikan pengguna, pengeluar dan perdagangan, bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara.
"Antara intervensi jangka pendek yang diambil adalah mewujudkan stok bekalan ayam, semakan prosedur import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan semakan semula Tarif Elektrik Sektor Pertanian.
"Majlis berpendapat terdapat keperluan yang mendesak untuk memperkasakan industri input kepada makanan ternakan supaya negara mencapai tahap sara diri kos input makanan ternakan terurus dan tidak terjejas akibat faktor luaran," katanya.
Malaysia wajar mengeluarkan jagung bijirin untuk makanan ternakan. - Foto hiasan