Walaupun biasa menyebut jenama permainan yang ada, adakah anda tahu asal usul nama yang diberikan kepada mainan tersebut? Kami kongsikan tiga asal usul nama permainan terkenal di dunia menerusi artikel ini.
1. Barbie
Sumber: History
Kini merupakan salah satu produk paling digemari kanak-kanak perempuan di seluruh dunia, istilah Barbie yang digunakan bagi menamakan siri anak patung itu sebenarnya merujuk kepada anak perempuan pengasas syarikat Mattel yang bernama Barbara.
Memetik laporan ThoughtCo, penampilan Barbie adalah berdasarkan anak patung bernama Bild Lilli yang dijual di Jerman. Pengasas syarikat Mattel iaitu Ruth bersama suaminya Elliot membeli hak kepada watak Bild Lilli itu dari pengeluarnya di Jerman untuk pemasaran di Amerika Syarikat dan menamakan semula patung itu menggunakan nama anak perempuan mereka.
2. Jenga
Sumber: Reader’s Digest
Jenga adalah satu permainan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia dan memerlukan pemain-pemainnya untuk menarik satu blok daripada 54 bongkah kayu yang disusun mirip sebuah menara dengan selamat.
Bongkah kayu itu kemudiannya perlu diletakkan semula di atas menara tersebut untuk meninggikan lagi ketinggiannya sehingga seorang pemain gagal melakukannya sekali gus meruntuhkan menara yang telah dibina bersama-sama..
Jenga adalah kata pinjaman daripada istilah kujenga yang membawa maksud membina sesuatu dalam bahasa Swahilli. Seorang wanita Inggeris bernama Leslie Scott telah mencipta permainan ini.
Leslie berpindah ke Ghana mengikut keluarganya ketika dia berusia 18 tahun. Wanita itu berkata kepada The Guardian, “Saya dan keluarga selalu bermain dengan blok-blok kayu kecil dari kilang papan tempatan ketika berada di Ghana.
Saya membawa pulang beberapa set blok kayu ketika berpindah ke Oxford, England. Setiap kali saya bermain jenga bersama rakan-rakan, mereka akan menjadi obses dengan permainan ini.
Walaupun ia agak jelas semua orang menyukai permainan ini, saya mengambil masa yang lama untuk menyedari jenga sebenarnya tidak wujud sebagai sebuah produk.
Saya membuat keputusan untuk menjual permainan tersebut. Walaupun saya berusia awal 20-an dan tidak tahu apa-apa tentang perniagaan permainan pada waktu itu, saya mengupah sebuah bengkel di Yorkshire yang menggajikan individu ketidakupayaan pembelajaran untuk menghasilkan 100 set jenga untuk jualan.
Mereka bersetuju dengan syarat saya akan mencari pengeluar berbeza untuk menghasilkan permainan ini sekiranya ia meledak dalam pasaran.”
Leslie kemudiannya membawa permainan itu ke sebuah ekspo permainan di London pada tahun 1983. Cubaannya untuk memasarkan permainan itu tidak membuahkan hasil.
Berkat bantuan seorang pekerja Harrods, Jenga berjaya dipamerkan untuk demonstrasi di kedai serbaneka terkenal itu ketika Krismas dan sejarah kemudiannya tercipta selepas ia berjaya menjadi salah satu permainan terkenal di dunia.
3. Tamagotchi
Sumber: Hypebeast
Sebelum kewujudan telefon pintar yang membolehkan anda bermain permainan simulasi bela haiwan, kanak-kanak yang membesar pada lewat 90-an dan awal 2000-an pernah rasa pengalaman membesarkan anak digital mereka menerusi alat elektronik Tamagotchi.
Tamagotchi adalah permainan yang sangat digemari ramai pada zaman dahulu sehingga ia menjadi peranti yang dibawa secara sembunyi ke sekolah dan juga sering dirampas guru apabila para pelajar gagal menumpukan perhatian di dalam kelas.
Smithsonian Magazine melaporkan Akihoro Yokoi memperoleh inspirasi untuk mencipta Tamagotchi selepas menonton satu iklan di televisyen yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki tidak dibenarkan untuk membawa penyu peliharaannya melancong bersama-sama.
Akihiro kemudiannya menghubungi Aki Maita yang bekerja sebagai pegawai pemasaran bersama syarikat gergasi permainan Jepun iaitu Bandai pada waktu itu.
Buat anda yang tidak pernah main permainan ini, Tamagotchi sebenarnya diprogram untuk berevolusi mengikut keputusan pemain yang bertindak sebagai penjaga.
Sekiranya ia dijaga dengan baik, Tamagotchi anda akan membesar menjadi orang dewasa yang berbudi bahasa dan begitu juga sebaliknya. Sama seperti haiwan sebenar, Tamagotchi anda akan meninggal dunia sekiranya ia tidak menerima perhatian yang secukupnya.
Untuk pengetahuan anda, Tamagotchi ialah gabungan dua istilah Jepun tamago (telur) dan uotchi (jam) ataupun jam berbentuk telur. Ia juga kadangkala disebut mengikut ejaan Jepunnya yang asal iaitu Tamagotch.