"Kita sememangnya menanti hasil kajian berkenaan untuk melihat kawasan mana yang sesuai untuk dibina LRT termasuk stesennya, namum kawasan kepadatan. penduduk tinggi akan diutamakan.
"Kajian itu bukan sahaja membabitkan bandar raya JB malah Pasir Gudang dan Iskandar Puteri serta Kulai yang kesemuanya berada dalam wilayah Johor Bahru," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di sini, hari ini.
Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir berkata, buat permulaan kerajaan Johor akan mewujudkan Jawatankuasa Pengintegrasian Pengangkutan Awam di Johor Bahru bagi mengkaji langkah pembinaan LRT JB.
Katanya, jawatankuasa itu juga akan merangka sistem pengangkutan bersepadu bagi memastikan aliran pergerakan penumpang yang menggunakan RTS saling bersambungan sekali gus mengatasi isu kesesakan di JB.
"Antara sistem pengangkutan yang akan diintegrasi dengan RTS adalah sistem bas termasuk perkhidmatan Bas Muafakat Johor (percuma) dan bas komersial, sistem Iskandar Rapid Transit (IMBRT), Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (ETS) dan cadangan pembangunan LRT Johor Bahru.
"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) juga sedang merancang membangunkan cadangan tempat letak kenderaan berpusat di Plaza Seni dan Danga City Mall," katanya.
Dalam pada itu,Mohamad Fazli berkata, pembinaan infrastruktur RTS sudah mencapai 17 peratus sehingga 30 Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.
Katanya,RTS Link adalah merupakan perkhidmatan LRT yang mempunyai jajaran sepanjang empat kilometer sejam sehala juga dapat mengalakkan rakyat untuk mula beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.
Katanya, ia seterusnya akan membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di Tambak Johor yang juga lintasan sempadan paling sibuk di dunia.
"Projek RTS Link dijangka memberi manfaat yang besar kepada ekonomi Johor khususnya dan negara amnya terutama dari segi peningkatan nilai hartanah, pemangkin kepada aktiviti ekonomi seperti kegiatan pelancongan, pelaburan dan peruncitan.
"Projek ini juga memberi keselesaan kepada rakyat kedua-dua negara yang perlu berulang alik Singapura dan Johor," katanya.