|

KAKITANGAN FAMA Negeri Sembilan, Norain Abdul Wadud menunjukkan buah durian kampung berkualiti. FOTO Mohd Amin Jalil
Seremban: 'Kenduri durian' luar biasa apabila sebanyak lima tan durian disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan sempena program Jom Makan Durian Kampung@Hab Pengedaran FAMA negeri, di Jalan Labu, di sini.
Program dua hari bermula hari ini dijayakan bersama Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) FAMA negeri dengan kerjasama usahawan bimbingan FAMA.
Ketua RPKP, Azhar Mohamad Buang, 48, berkata, selain durian kampung, durian udang merah (D175), musang king (D197) dan IOI turut disediakan bagi memberi pilihan kepada orang ramai.
Katanya, program berkenaan yang diadakan julung kali itu bertujuan membantu usahawan memasarkan hasil tani mereka selain memastikan orang ramai mendapatkan durian yang berkualiti pada harga munasabah pada musim raja buah itu.
"Program ini dijayakan bersama dengan 10 usahawan bimbingan FAMA Negeri Sembilan.
"Harga yang ditawarkan antara RM7 hingga RM8 sekilogram (kg) bagi durian kampung manakala durian jenis lain antara RM25 hingga RM50 kg.
"Pakej buffet disediakan untuk durian kampung sahaja pada harga RM25 seorang dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun," katanya tadi.
Beliau berkata, bekalan durian kampung diperoleh daripada sekitar Rembau dan Tampin manakala udang merah, IOI dan musang king daripada Raub Pahang.
Menurutnya, sambutan diterima daripada orang ramai sangat memberangsangkan dan mereka berpeluang mendapatkan dan merasai durian yang berkualiti kerana raja buah yang disediakan itu sudah dipilih dalam kalangan yang terbaik.
"Saya yakin jumlah keseluruhan durian yang disediakan ini bakal dapat jual menjelang hari terakhir esok kerana ramai penggemar durian yang datang bukan sahaja dari daerah ini malah luar Negeri Sembilan terutama bersempadanan dengan negeri ini," katanya.
Pengunjung, Abdul Halim Ibrahim, 40, berkata pihaknya berpuas hati dengan harga durian ditawarkan FAMA negeri kerana durian yang disediakan berkualiti dan tiada yang rosak.
Menurutnya, pengunjung juga boleh memilih buah yang dikehendaki dan jika ada yang kurang berkualiti boleh ditukar dengan buah yang lain.
"Saya sambut baik program seperti ini kerana orang ramai dapat memilih buah durian yang diinginkan pada harga yang berpatutan. Saya suka durian yang isinya berwarna kuning," katanya yang akui dia dan ahli keluarga amat gemar makan buah itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ngan-sampai-kenyang |
|