Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Muhammad Yasir Yahya, berkata siasatan mendapati kebun itu menjadi tempat pemeliharaan pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri sekali gus menimbulkan isu lain. (Gambar Facebook Kebun-Kebun Bangsar)KUALA LUMPUR: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pusat komuniti kebun-kebun Bangsar, di sini, kerana berlaku pelanggaran syarat Lesen Pendudukan Sementara (LMS) bagi maksud nurseri.
Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Muhammad Yasir Yahya, berkata syarat-syarat bagi maksud nurseri yang diluluskan termasuklah jenis tanaman dan juga tiada struktur kekal dibenarkan di bawah talian rentis seperti mana ulasan teknikal daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“PPTGWP juga menerima aduan kacau ganggu daripada penduduk setempat secara bertulis dan lisan yang berpunca daripada kebun berkenaan.
“Siasatan mendapati kebun itu menjadi tempat pemeliharaan pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri sekali gus menimbulkan isu lain seperti pencemaran bau, lalat dan gangguan bunyi yang menjadi punca utama tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, PPTGWP sentiasa menyokong usaha ke arah kebun bandar selaras dengan hasrat kerajaan, bagaimanapun pematuhan kepada syarat-syarat LMS perlu dipatuhi bagi kebaikan semua pihak.