CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 464|Reply: 0

[Johor] Sungai Tebrau dipenuhi sampah

[Copy link]
Post time 29-6-2022 04:09 PM | Show all posts |Read mode

Tinjauan mendapati sampah terkumpul berbau busuk dan memberi imej buruk terutama kepada pelancong luar yang berkunjung di persisir Sungai Tebrau, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JOHOR BAHRU: Kotor, busuk dan menjelikkan. Itulah keadaan Sungai Tebrau, berhampiran Kampung Bakar Batu, di sini, dengan pelbagai jenis sampah sarap, sejak lebih 20 tahun lalu.

Tinjauan dilakukan di kawasan sungai berkenaan mendapati pelbagai jenis sampah termasuk botol minuman, pek bungkusan makanan serta plastik sampah yang bertebaran dari bahagian tebing sehinggalah yang terapung di tengah sungai berkenaan, yang menyebabkan bukan sahaja pencemaran air malah bau berikutan sampah yang terlalu banyak.

Longgokan sampah sarap yang bersepah di bahagian tebing selain terapung hanyut mengikut arus sekali gus mencacatkan pemandangan bahagian sungai yang menempatkan Pasar Pagi Orang Asli, di situ.

Peniaga makanan, Firdaus Nohan, 27, berkata penduduk di kawasan berkenaan kecewa berikutan pencemaran Sungai Tebrau sudah berlarutan terlalu lama akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat.


Katanya, pencemaran yang sudah terlalu lama itu menyebabkan kawasan berkenaan hilang keindahannya selain membahayakan pelbagai jenis hidupan akuatik terutama lokan, ketam, udang, kupang selain pelbagai ikan termasuk patin, talapia dan siakap.

"Penduduk asal Kampung Bakar Batu sering menceritakan keindahan Sungai Tebrau sejak 1980-an, dengan airnya

jernih dan menjadi lokasi utama nelayan mendapatkan hasil hidupan laut yang berkualiti.

"Namun sejak 20 tahun lalu, keadaan Sungai Tebrau seolah-olah bertukar menjadi tapak pembuangan terbuka, dengan sampah sarap terapung boleh dilihat sepanjang masa dan makin teruk selepas hujan.

"Jika air sungai surut, lebih banyak sampah akan dapat dilihat di kawasan dasar sungai dan keadaan itu sangat mengecewakan penduduk malah kerap ditegur pengunjung luar termasuk dari Singapura yang sering berkunjung ke Pasar Pagi Orang Asli di sini.

"Terdapat tiga nelayan yang juga penduduk Kampung Bakar Batu yang diupah kontraktor pembersihan untuk mengutip sampah di sungai ini. Setiap hari mereka mengutip sehingga tiga tong sampah bersaiz industri, namun sampah tidak pula berkesudahan dan semakin banyak setiap hari," katanya ketika ditemui.

Sungai Tebrau sebelum ini pernah dilaporkan sebagai sungai ke-53 paling tercemar di dunia oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, Ocean Cleanup, sehingga tular di media sosial tahun lalu.

Dalam tempoh setahun, jumlah sampah yang dikutip di Sungai Tebrau dilaporkan mampu memenuhi 160 tong sampah industri atau bersamaan 240 tan, iaitu jika digambarkan ia boleh menutup hampir sebuah padang bola sepak.

Pada 2017, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, ketika membuat lawatan mengejut di Sungai Tebrau, dilaporkan kesal dengan pembuangan sampah dan pencemaran yang berlaku di sepanjang kawasan itu.

Pada 2019, Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dilaporkan mengurniakan semula insentif kerajaan negeri sebanyak RM500,000 yang diterima oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada tahun itu bagi tujuan membiayai pembelian bot pengutip sampah.

Dalam pada itu, Firdaus mendakwa sampah sarap yang tidak berkesudahan itu dipercayai dibawa dari kawasan Pasar Borong Pandan selain kawasan perindustrian yang terletak di hilir sungai berkenaan.

"Tidak munasabah orang kampung dan penduduk sekitar di sini sengaja hendak sabotaj keindahan kawasan Sungai Tebrau kerana memang kami tinggal di sini sejak bertahun-tahun.

"Kebanyakan penduduk kampung juga golongan nelayan yang mencari rezeki di situ, justeru tidak masuk akal kami hendak membuang sampah ke dalam Sungai Tebrau.

"Saya yang meniaga di sini pun segan dengan pengunjung yang kerap menegur berkenaan sampah sarap yang banyak selain bau busuk di sungai ini," katanya.

Firdaus turut berharap kempen kebersihan yang akan dilancarkan Menteri Besar,Datuk Onn Hafiz Ghazi di Sungai Tebrau, Sabtu ini akan jadi titik tolak perubahan di kawasan berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berit ... rau-dipenuhi-sampah
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2025 03:28 AM GMT+8 , Processed in 0.129962 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list