|
Tampin: Dua individu yang ditahan polis selepas sanggup melarikan diri dengan meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki selepas terbabit kemalangan disahkan bukan pasangan suami isteri.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata hasil siasatan lanjut dijalankan oleh pihaknya, mendapati status hubungan kedua-dua suspek masing-masing berusia 30-an dan 20-an itu bukan suami isteri seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, kedua-duanya mereka dikenakan reman dengan suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau termasuk 14 kesalahan narkotik manakala suspek wanita pula mempunyai satu rekod kesalahan narkotik.
"Suspek lelaki direman selama empat hari bermula Isnin lalu di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 hingga esok, manakala bagi kesalahan mencuri kenderaan pula, reman akan dimohon esok.
"Wanita yang juga ibu mangsa hanya dikenakan reman selama sehari bagi membantu siasatan. Kedua-duanya positif dadah dalam ujian air kencing yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang tadi.
Terdahulu, media melaporkan kedua-dua suspek meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, dekat sini, malam kelmarin.
Difahamkan mereka melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda milik pengguna jalan raya lain yang ingin membantu mereka.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.30 malam itu apabila mereka dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor, dekat sini.
Jenazah kanak-kanak terbabit suda dituntut oleh bapa kandung dari Hospital Tampin dan selamat dikebumikan semalam.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... sangan-suami-isteri |
|