|
Grace yakin mampu beri tentangan di Sukan Komanwel 2022.
KUALA LUMPUR: Atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei menyifatkan persediaan mental amat penting sebelum dia bertanding di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Grace yang diletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok di pentas final berkata, dia berkeyakinan mampu memberikan tentangan kepada pencabar di Birmingham namun kekuatan mental amat diperlukannya.
Atlet dari Sarikei, Sarawak itu berkata, berdasarkan catatan peribadinya terbaiknya (PB) yang juga rekod kebangsaan 62.48 meter (m), serta balingan yang boleh mencapai 64m dalam sesi latihan, dia yakin mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik di Birmingham.
"Grace tidak tahu prestasi peserta dari negara lain. Apapun untuk PB memang ada peluang (perbaiki). Dalam latihan, kadangkala saya boleh melakukan 64m.
"Itu dalam ranking kelompok tiga atau empat terbaik, jadi saya rasa boleh memberikan saingan namun mental perlu kuat," kata Grace yang sebelum ini menghadiahkan pingat emas di Sukan SEA Vietnam 2021.
Berdasarkan keputusan di Gold Coast 2018, atlet New Zealand, Julia Ratcliffe meraih emas dengan lontaran sejauh 69.94m manakala dua wakil tuan rumah Alexandra Hulley dan Lara Nielsen masing-masing meraih perak dan gangsa, dengan balingan sejauh 68.20m dan 65.03m.
Kedudukan keempat diraih atlet Kanada, Sultana Frizell dengan catatan 63.94m manakala Queen Obesesan dari Nigeria melakukan 63.84m.
"Saya rasa, saya boleh memasuki kelompok lapan terbaik. Nak kata mencabar, tak juga tapi peluang itu lebih kurang 50-50," katanya yang mengharapkan tempoh baki menjelang temasya tidak dihantui masalah kecederaan.
https://www.bharian.com.my/sukan ... mahu-kuatkan-mental |
|