|

Penduduk meredah Sungai Kupang dekat Kampung Iboi selepas kejadian banjir lumpur dan kepala air, 4 Julai lalu. - Foto fail NSTP
ALOR SETAR: Semua penduduk yang mendiami tanah rizab Sungai Kupang akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat bagi mengelak tragedi banjir dan fenomena kepala air seperti yang berlaku pada 4 Julai lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ketika ini, Pejabat Daerah dan Tanah Baling sedang mengenal pasti bilangan rumah yang terbabit dan pelaksanaannya akan diumumkan kemudian.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membina semula rumah ganti bagi 30 keluarga yang layak di atas tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Sadek, Kupang dengan kos sekitar RM58,000 hingga RM60,000 sebuah.
"Selain itu, kerajaan negeri akan membayar sewa rumah sementara kepada penduduk yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan yang rosak teruk, dengan kadar sewa RM400 sebulan dan RM100 sebulan untuk utiliti selama enam bulan.
"Bagi kediaman yang rosak, kerajaan negeri melantik anak syarikat berkaitan untuk melaksanakan kerja baik pulih," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, bancian sedang dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Baling bagi mengenal pasti kesan banjir pada kediaman penduduk.
Selain itu, katanya, kesan sampingan bencana itu juga sedang dinilai oleh agensi dan jabatan berkaitan, yang seterusnya akan dilaporkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan segera.
"Kerajaan negeri juga membantu menguruskan sejumlah 1,228 laporan polis oleh mangsa banjir untuk mendapatkan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan menguruskan 17 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.
"Selain itu, kerajaan negeri turut membantu sekolah dan institusi awam yang terbabit seperti sekolah, surau dan dewan serta membaiki infrastruktur air masyarakat yang terjejas," katanya.
Beliau berkata, semua tindakan itu, termasuk inisiatif tambahan lain akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri, esok untuk kelulusan perbelanjaan.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya masih menunggu laporan siasatan jabatan teknikal dalam mengenal pasti punca kejadian itu, termasuk berhubung projek pembangunan ladang hutan di Gunung Inas, yang dikaitkan dengan bencana itu. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berit ... -kupang-dipindahkan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|