Beberapa gambar mengerikan memaparkan ketagihan dadah berleluasa yang memusnahkan ribuan keluarga di Afghanistan, menjadi tular dalam media sosial.
Memetik laporan Daily Mail, situasi itu berlaku ketika negara berkenaan dilanda konflik selama bertahun-tahun dan kebangkitan semula pemerintahan Taliban.
Dalam gambar tersebut, sejumlah besar penduduk Afghanistan dilihat melepaskan gian dengan mengambil beberapa jenis dadah termasuk heroin, candu dan methamphetamine di merata-rata tempat di kawasan lereng bukit yang menghadap bandar Kabul.
Sejumlah penagih dadah terbaring dan berkhayal di bawah jambatan di Kabul, Afghanistan. - AP
Malah, ada dalam kalangan mereka sanggup mengambil dadah di dalam kem kecil dihuni, manakala yang lain pula terbaring di atas tanah tanpa sedarkan diri.
Sekumpulan penduduk dan haiwan itu ditemukan terlantar di tengah-tengah sampah busuk akibat pengambilan dadah berlebihan.
Isu ketagihan dadah sudah lama menjadi masalah di Afghanistan yang merupakan pengeluar candu dan heroin terbesar dunia.
Namun, kemiskinan yang semakin meruncing dan peperangan berlarutan selama berdekad-dekad mengakibatkan jutaan penduduk terjebak dengan najis dadah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sejak kemelesetan ekonomi negara berikutan rampasan kuasa Taliban dan pemberhentian pembiayaan antarabangsa, banyak keluarga terputus mata pencarian sehingga menyebabkan mereka tidak mampu membeli makanan.
Akibatnya, hampir setiap hari semakin ramai orang ketagihan dadah untuk melarikan diri daripada masalah dihadapi.
Malah, Kabul kini dipenuhi dengan penagih dadah yang tinggal di taman, longkang kumbahan, di bawah jambatan dan lereng bukit terbuka.
Sumber: Utusan |