KOTA BHARU: Malaysia mengekalkan rekod sebagai salah sebuah negara yang berjaya mengekalkan kadar
harga terendah terutamanya produk barangan makanan dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan laporan daripada Bank Dunia berkenaan program bakul makanan iaitu diet makanan sihat.
Menurutnya, laporan berkenaan menunjukkan perbandingan antara semua negara ASEAN untuk makanan sihat yang cukup bagi satu keluarga dan memenuhi kriteria-kriteria diet sihat mengikut negara.
“Laporan berkenaan meletakkan Malaysia sebagai negara kedua yang mempunyai kadar harga terendah dalam kalangan negara-negara ASEAN. Ia turut melibatkan tarif elektrik, tarif air, harga minyak masak dan banyak lagi produk makanan.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersyukur dan berbangga dengan kejayaan ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program lelong Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia memberitahu, banyak pihak yang cuba mempolitikkan isu harga barangan sehingga menjalankan demonstrasi sedangkan tindakan itu tidak membantu kepada penurunan harga makanan. –
UTUSAN