MERSING: Dua nelayan warganegara asing ditahan kerana menceroboh Taman Laut untuk menangkap ikan, semalam.
Pengarah Perikanan negeri, Zainudin Abdul Wahab berkata, lelaki berusia 37 dan 50 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pasukan khas Taman Laut dan Pengurusan Sumber di kawasan Taman laut Johor menuju ke Pulau Harimau.
“Dalam penahanan tersebut, tangkapan dianggarkan sebanyak 60 kilogram, terdiri daripada ikan selar kuning dan ikan sagai yang bernilai RM970.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) dan Seksyen 11 (3) (b) dan sekiranya disabitkan kesalahan vesel dan peralatan akan dirampas dan dilucutkan hak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan Perikanan sentiasa komited dan tidak akan berkompromi terhadap sesiapa yang menyalahi Akta Perikanan 1985.
Justeru, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi Akta Perikanan 1985 agar sumber perikanan negara dapat diurus secara lestari. –
UTUSAN