KANGAR: Seorang lelaki mengubahsuai pacuan empat roda miliknya dengan dua tangki tambahan sebelum mengisi lebih 500 liter diesel subsidi dipercayai bagi tujuan penyeludupan.
Taktik dikesan susulan serbuan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah stesen minyak di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Ketika diserbu, suspek dikatakan sedang asyik mengisi kira-kira 500 liter bahan api subsidi itu ke dalam kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dipandunya.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah, berkata serbuan dilakukan empat anggota penguat kuasa hasil risikan di stesen minyak terbabit sejak beberapa minggu lalu, sebelum mengesan gerak-geri mencurigakan pacuan empat roda terbabit.
"Ketika diperiksa, anggota kami mengesan dua tangki besi berbentuk empat segi yang sudah diubah suai pada bahagian tempat duduk penumpang di bahagian belakang.
"Kita percaya dua tangki tambahan itu mengandungi diesel bersubsidi. Selain itu, kita turut menemukan enam tong yang turut digunakan untuk mengisi diesel dalam kenderaan terbabit," katanya ketika ditemui di Pejabat KPDNHEP Perlis, hari ini.
Mengulas modus operandi digunakan, Mohamad Amir berkata, sindiket akan membeli diesel bersubsidi di lapan hingga 10 stesen minyak dalam negeri sebelum dijual kepada pihak yang mahukan bahan api itu di negara ini.
"Malah, hasil maklumat diterima, ada pembabitan tonto yang melindungi sindiket ini disebabkan tindakan drastik agensi penguatkuasaan bukan hanya membabitkan KPDNHEP, tetapi juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKM) di kawasan sempadan.
"Mereka (sindiket) mengupah tonto untuk menjejaki setiap pergerakan anggota penguat kuasa termasuk membabitkan sekatan jalan raya di sekitar kawasan sempadan," katanya.
Mengenai rampasan semalam, Mohamad Amir berkata, penggunaan tangki minyak yang diubahsuai dan dilengkapi salur hos dalam kenderaan sebenarnya biasa dilakukan di Thailand, namun pihaknya percaya suspek bergerak secara individu.
"Selain itu, corong untuk mengisi bahan api juga diubah suai dan ditempatkan berhampiran corong asal dipercayai untuk mengaburi pemilik stesen minyak dan anggota penguat kuasa, kononnya mereka mengisi petrol atau diesel untuk kenderaan itu.
"Kita percaya sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi kembali aktif sejak sebulan lalu iaitu selepas pembukaan sempadan antarabangsa pada April," katanya.
Beliau mengesahkan nilai keseluruhan rampasan dianggar RM22,135 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.