GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bersiap siaga dan meneruskan operasi secara berjaga-jaga susulan paras kekeruhan air mentah di muka sauk Lahar Tiang, Sungai Muda, mencecah 261 NTU (unit kekeruhan nefelometrik), setakat jam 11 pagi tadi yang berkemungkinan akibat banjir di Baling, Kedah, semalam.
Menurut PBAPP, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth, masih mampu merawat air mentah dari Sungai Muda, namun pihaknya tetap memantau paras NTU air sungai dari semasa ke semasa.
"Setakat jam 1 tengah hari tadi, kapasiti pengeluaran LRA Sungai Dua berada pada tahap maksimum dan hasil pemantauan PBAPP mendapati tahap kekeruhan air mentah telah stabil dan situasi kembali normal, manakala NTU di muka sauk Lahar Tiang sudah turun kepada 228.
"Justeru, notis waspada yang dikeluarkan PBAPP telah ditamatkan. Hingga kini, operasi di LRA Sungai Dua adalah normal dan tidak terjejas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam,
Kampung Iboi serta beberapa penempatan lain berhampiran Sungai Kupang, Baling, dilanda banjir susulan hujan berterusan dengan air dilaporkan turun deras dari bukit dan sungai melimpah.
Ia adalah kejadian kedua, bulan ini, selepas insiden kepala air dan banjir lumpur pada awal bulan yang meragut tiga nyawa serta memusnahkan puluhan rumah penduduk.
Pada awal bulan ini, kira-kira 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun berdepan gangguan bekalan air susulan henti tugas LRA Sungai Dua akibat banjir di Baling, Kedah.
Lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak setiap hari oleh PBAPP berpunca dari Sungai Muda, Kedah, yang turut mengalir melalui dua sungai lain di hulu Baling.