Gara-gara terlelap sehingga terlupa menutup api dapur menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh melecur dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Bandar Bukit Tinggi, hari ini.
Mangsa berusia 45 tahun itu melecur di bahagian bahu selepas terkena bahangan api ketika memadamkan api tersebut.
Keadaan rumah kedai yang terbakar akibat seorang penghuninya terlupa tutup api dapur.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 12 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.41 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal mendapati mangsa terlupa mematikan api ketika memasak sebelum tertidur.
“Lelaki warga asing itu hanya tersedar apabila kepulan asap memenuhi ruang rumah itu sebelum cuba memadamkan api.
“Mangsa dilaporkan terkena bahangan sehingga cedera di bahu sewaktu memadamkan api namun gagal dan terus keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan selanjutnya.
Norazam menjelaskan, hasil pemeriksaan turut mendapati rumah kedai di tingkat empat itu dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja asing.
“Kebakaran melibatkan 50 peratus rumah tersebut dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sumber: KOSMO! ONLINE |