View: 864|Reply: 0
|
Harga maksimum minyak masak botol 5kg RM34.70 mulai 8 Ogos
[Copy link]
|
|
Harga maksimum minyak masak botol 5kg RM34.70 mulai 8 Ogos
Foto hiasan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Minyak masak sawit dalam botol lima kilogram (5kg) yang sekarang berharga antara RM39 hingga RM42, akan dijual pada RM34.70 bulan ini bermula 8 Ogos.
Harga baharu ditetapkan susulan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) diumum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan harga RM4,063 bagi Ogos.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, berkata berdasarkan penentuan harga itu mulai hari ini, penguatkuasaan harga di kedai hendaklah mula dilaksanakan tujuh hari kemudian.
"Bermakna 8 Ogos, minyak masak dalam botol 5kg yang sekarang dijual dari RM39 hingga RM42 hendaklah dijual pada harga maksimum RM34.70," katanya pada sidang media mingguan di Parlimen, hari ini.
Beliau juga mengumumkan, kerajaan memutuskan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi di Semenanjung, ditentukan secara bulanan mengikut purata harga minyak sawit mentah (CPO) bulan sebelumnya.
Katanya, penetapan harga siling itu akan berkuat kuasa setiap lapan hari bulan dengan kadar bagi minyak masak botol 3kg dan 1kg akan diumum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kelak.
"Harga akan ditetapkan secara bulanan berasaskan purata Harga Harian Minyak Sawit Mentah (CPO) diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap satu haribulan. Harga ini akan menjadi penanda aras untuk menentukan harga jualan minyak masak tulen tanpa subsidi," katanya.
Minggu lalu, Annuar dilapor berkata, kerajaan akan mewarta harga minyak masak sawit tulen dalam botol menerusi kaedah penentuan harga siling produk itu, memandangkan pengeluar minyak masak berbotol masih liat untuk menurunkan harga biarpun harga minyak sawit mencatatkan penurunan.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kadar siling bulanan itu akan ditetapkan melalui kaedah pengiraan ditentukan KPDNHEP selepas rundingan bersama pemain industri minyak sawit tulen, diadakan.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... rm3470-mulai-8-ogos
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|